Bernama

Bung
Moktar akan mengemukakan cadangan, bagi menubuhkan Majlis Presiden
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada mesyuarat yang dijangka diadakan pada
11
Jan tahun depan. - Gambar fail
KOTA KINABALU:
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin akan
mengemukakan cadangan, bagi menubuhkan Majlis Presiden Gabungan Rakyat
Sabah (GRS) pada mesyuarat yang dijangka diadakan pada 11 Jan tahun
depan.
GRS merangkumi gabungan Perikatan
Nasional (PN), BN dan Parti Bersatu Sabah, membentuk kerajaan negeri
selepas menang Pilihan Raya Negeri pada 26 Sept lalu.
"Kami
merancang untuk mengadakan mesyuarat pada 11 Jan ini. Ya, kami akan
membincangkan mengenainya (cadangan penubuhan Majlis Presiden GRS),"
katanya kepada pemberita selepas penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi
dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah bagi empat agensi kerajaan negeri di
sini, hari ini.
Bung Moktar berkata
demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan penubuhan Majlis
Presiden GRS, seperti yang disuarakannya sebelum ini.
Sebelum
ini, media melaporkan Bung Moktar percaya GRS perlu ada majlis
presidennya sendiri, yang antara lain berperanan dalam membincangkan
isu-isu berbangkit secara lebih mendalam ke arah memperkukuhkan lagi
gabungan berkenaan.
Pada 28 Nov, Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan, supaya pertemuan antara ketua parti
yang membentuk kerajaan PN diadakan secara lebih kerap.
Sehubungan
itu, Muhyiddin berkata mungkin sudah sampai masanya sebuah Majlis
Presiden yang dianggotai oleh ketua-ketua parti dalam PN, BN, GRS dan
Gabungan Parti Sarawak (GPS) diwujudkan, bagi membolehkan mesyuarat
secara berkala diadakan untuk membincangkan perkara berkaitan dengan
dasar ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.