HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 Disember 2020

DUN Sabah lulus belanjawan RM4.3 bilion

BH ONLINE
Hajiji ketika membentangkan Belanjawan 2021 SABAH di Dewan Undangan Negeri, Isnin lalu. FOTO BERNAMA
Hajiji ketika membentangkan Belanjawan 2021 SABAH di Dewan Undangan Negeri, Isnin lalu. FOTO BERNAMA

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Belanjawan 2021 berjumlah RM4.3 bilion selepas dibahas selama tiga hari sejak Isnin.

Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, berkata belanjawan itu diluluskan dengan suara terbanyak ahli mesyuarat.

Terdahulu ketika menggulung perbahasan itu, Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata tidak timbul isu kerajaan Sabah bergantung kepada Persekutuan kerana kerajaan Persekutuan juga milik rakyat Sabah.

"Kerajaan persekutuan itu juga dibentuk oleh rakyat di Sabah dan kerajaan Persekutuan juga dianggotai pemimpin dan penjawat awam dari Sabah," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri berterima kasih kepada semua yang terbabit dalam pelaksanaan Cukai Jualan Negeri ke atas Produk Petroleum yang membolehkan kerajaan Sabah menerima pembayaran secara berterusan.

"Perlu juga ditegaskan kita harus merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menunaikan komitmen memastikan Petronas melunaskan hak dan kepentingan rakyat serta negeri Sabah," katanya.

Cukai itu menjadi penyumbang terbesar Sabah dengan anggaran hasil RM1.25 bilion atau 27.9 peratus daripada keseluruhan hasil negeri pada 2021.

DUN Sabah turut meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit COVID-19.

Selain itu, DUN Sabah meluluskan usul melantik Penolong Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Bobbey Suan sebagai ahli Dewan Negara baharu.

Pelantikan Bobbey bagi menggantikan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin yang akan tamat tempoh perkhidmatan sebagai Senator pada 4 Januari tahun depan.

Cadangan itu dikemukakan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor dan disokong Timbalannya Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Pencalonan Bobbey mendapat sokongan 64 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir pada persidangan itu.

Bobbey, 66, adalah bekas ADUN Nabawan yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri Tugas-tugas Khas, Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan (2004-2013) serta Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur (2013-2018). - BERNAMA

Tiada ulasan: