Bernama

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menyandang kerusi Parlimen tersebut sejak 2008.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin menawarkan diri mempertahankan
kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), jika mendapat keizinan
daripada kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan
Perikatan Nasional (PN).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menyandang kerusi Parlimen tersebut sejak 2008.
"Jika
parti tiada halangan, saya menawarkan diri sekali lagi untuk bertanding
di Ampang untuk mempertahankan kerusi ini," katanya kepada pemberita
selepas menyerahkan 8,000 borang keahlian Bersatu Selangor kepada
Pengerusi Bersatu Selangor Datuk Abdul Rashid Asari di Pejabat PM
Parlimen Ampang di sini hari ini.
Ditanya
sama ada perkara itu telah dibincangkan dengan UMNO bagi mengelak
perebutan kerusi, Zuraida, yang merupakan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Bersatu, secara ringkas berkata UMNO juga sebahagian daripada PN.
Mengenai
penyerahan borang keahlian Bersatu, beliau berkata mereka terdiri
daripada ahli badan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Komuniti Negara
(PKN), yang kebanyakannya bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Zuraida
berkata proses integrasi antara PKN dan Bersatu berjalan dengan baik
dan ia diharap dapat menambahkan kekuatan parti itu di Parlimen Ampang
serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya dan Bukit Antarabangsa.
"Apabila digabungkan, sudah pasti Ampang akan menjadi kubu kuat Bersatu," katanya.
Dalam
pada itu, Abdul Rashid berkata dengan penambahan 8,000 ahli baharu
tersebut, Bersatu Selangor kini mempunyai kira-kira 70,000 ahli.
"Sebelum
PRU15, kita harap dapat keahlian sehingga 200,000. Di bahagian lain pun
kita sedang menjalankan usaha-usaha menambah keahlian," katanya.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan