Halaman

Khamis, 21 Januari 2021

Mungkin Sanusi diberi nasihat yang salah, kata Santhara Kumar

9FCC34D0-87B8-41A7-9230-6C1067652B7B
Santhara Kumar

KUALA LUMPUR – Walaupun sambutan Thaipusam telah dibatalkan di kuil berikutan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat namun ia tetap disambut oleh masyarakat Hindu di rumah masing-masing.

Ini kerana, terdapat perbezaan antara cuti umum Thaipusam dan sebab ia tidak dapat disambut secara besar-besaran seperti yang berlaku setiap tahun di negara ini.

Oleh itu, Thaipusam wajar dijadikan cuti umum tanpa sebarang isu, kata Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Seri Dr Santhara Kumar.

Santhara yakin Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mempunyai jiwa yang sungguh besar dan akan memahami kehendak serta betapa pentingnya upacara itu buat masyarakat India.

”Pada pandangan saya Thaipusam sepatutnya diberikan cuti umum, itu yang sebetulnya. Ini juga antara intipati kebebasan beragama di negara ini.

”Kedah sendiri mempunyai sejarah cukup mendalam, agama Hindu bermula dari Kedah atau dikenali sebagai (Kadaram) juga dengan peninggalan candi-candi di Lembah Bujang.

“Pastinya semangat serta sentimen masyarakat India itu sangat kuat pengaruhnya di negeri itu juga, saya pasti Menteri Besar cukup faham dan berjiwa besar dalam isu cuti umum sambutan Thaipusam ini,” katanya yang percaya mungkin Sanusi mendapat nasihat kurang tepat mengenai Thaipusam” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta pegawai khas beliau bagi kaum India untuk memberi pemahaman serta pandangan tepat mengenai isu berkaitan sensitiviti agama.

Semalam Muhammad Sanusi mengumumkan tidak akan ada cuti umum untuk Thaipusam di negeri Kedah pada tahun ini, kerana semua aktiviti pada perayaan tersebut telah dibatalkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Untuk makluman, Thaipusam merupakan cuti peristiwa untuk Kedah, Pulau Pinang, Selangor namun negeri lain tidak membatalkan cuti berkenaan walaupun larangan sambutan itu turut dikenakan di negeri terbabit.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.