Irwan Muhammad Zain

Mengulas
cadangan melantik Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
sebagai Perdana Menteri pula, Lim Guan Eng menegaskan, ia merupakan
sebahagian pilihan yang ada. - Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjadi pilihan utama DAP
sebagai calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan (PH) untuk berdepan
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.
Perkara
itu ditegaskan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika program
bual bicara secara maya Midan Profesor Negara bertajuk "Masa Depan
Malaysia: Ke Mana Kita?" anjuran Majlis Profesor Negara (MPN).
Menurut
Guan Eng, sekiranya ada cadangan untuk menukar calon Perdana Menteri
dari PH, pekara itu mestilah dilakukan menerusi perbincangan Majlis
Presiden PH.
"Buat masa ini masih lagi
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri kerana ini
berpandukan keputusan yang dibuat oleh Pakatan Harapan.
"Sekiranya ada apa-apa perubahan calon Perdana Menteri, ia mesti melalui keputusan Pakatan Harapan," katanya.
Mengulas
cadangan melantik Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri
Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri pula, Ahli Parlimen Bagan itu
menegaskan, ia merupakan sebahagian pilihan yang ada.
Katanya,
DAP melihat pilihan-pilihan yang sedia ada iaitu Anwar dan Tun Dr
Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri ketika usaha mengambil
alih pentadbiran daripada Perikatan Nasional.
"Kita
(DAP) melihat pilihan-pilihan sedia ada, iaitu selain daripada Datuk
Seri Anwar Ibrahim dan pilihan lain ialah Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Tetapi
terdapat pilihan lain iaitu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, itulah
pilihan yang ada ketika itu, tetapi Pakatan Harapan kita sokong Datuk
Seri Anwar sebagai calon Perdana Menteri.
"Namun,
ini tidak menolak kewibawaan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai seorang
pemimpin berstatus pemimpin negara, jangan kita tolak hanya kerana dia
datang dari Sabah.
"Itulah konsep
integrasi nasional, jangan kita tolak seseorang pemimpin hanya kerana
beliau dari Sabah dan Sarawak," katanya lagi.
Tahun
lepas, Guan Eng telah mencadangkan nama Shafie sebagai calon Perdana
Menteri untuk Pakatan Harapan Plus dalam usaha mereka untuk mengambil
alih kerajaan daripada Perikatan Nasional.
Namun
cadangan itu ditolak oleh Majlis Presiden PH yang bertegas mahukan
Anwar kekal sebagai calon Perdana Menteri gabungan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan