HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 Februari 2021

Belum dipanggil tapi Tommy tawar kerjasama penuh – Peguam

KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas setakat ini belum dipanggil pihak polis berhubung lebih 100 laporan yang dibuat ke atasnya.

Walau bagaimanapun, peguam Tommy, Sangeet Kaur Deo berkata, anak guamnya bersedia menawarkan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Ia berhubung penerbitan buku memoirnya yang didakwa mengandungi fakta tidak benar, menghina dan berunsur fitnah.

“Setakat ini tiada tarikh lagi diberikan untuk mengambil keterangan,” katanya ketika dihubungi hari ini seperti dilapor Harian Metro Online.

Baca artikel berkaitan: Tommy disiasat kesalahan fitnah, bocor maklumat dan OSA

Buku Tommy ‘karut’, berunsur ‘penghinaan’, bersifat ‘male fade’ – Takiyuddin

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dipetik berkata, kertas siasatan terhadap bekas peguam negara itu dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu memfitnah.

Katanya, satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 203A Kanun Keseksaan (membocorkan maklumat) dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Kertas siasatan ketiga dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut),” katanya.

Lebih 100 laporan polis di seluruh negara dibuat ke atas Tommy termasuk beberapa individu penting termasuk Tan Sri Apandi Ali.

Selain laporan polis, beberapa individu lagi mahu mengambil tindakan saman sivil ke atas kandungan memoir My Story: Justice in the Wilderness yang didakwa memfitnah.

Tiada ulasan: