Astro Awani

TUNKU:
"Marilah kita sentiasa beringat bahawa perpaduan adalah
kekuatan utama
kita sebagai sebuah bangsa dan sebuah negara." -
Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Malaysia tidak akan berjaya sebagai sebuah negara sehinggalah semua
rakyat mengutamakan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia dahulu,
sebelum identiti kaum atau agama mereka, kata veteran DAP, Lim KIt
Siang.
Menyokong hujahnya, Kit
Siang memetik kata-kata Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra
Al-Haj tentang perpaduan dan menjadikan negara ini sebuah tempat yang
dicintai oleh semua dengan jaminan kebebasan, keselamatan, kemakmuran
dan kegembiraan untuk semua di masa hadapan.
Menurut
Kit Siang, Tunku Abdul Rahman juga berkata tidak ada sesiapa pun akan
menerima sebuah negara yang mengasaskan pentadbiran politiknya kepada
mana-mana agama dan tidak ada ruang untuk sebuah negara Islam bagi
Malaysia yang mempuyai rakyat berbilang kaum dan agama.
"Cara
terbaik untuk memperingati memori Tunku adalah dengan merealisasikan
cita-cita beliau di mana tidak kiralah apa-apa kaum atau agama, yang
penting kita semua adalah rakyat Malaysia.
"Amat
menyedihkan apabila kita melihat kegagalan usaha pembinaan negara
bangsa kita, di mana selepas enam dekad, negara kita masih dihantui
dengan politik yang berfikiran sempit dan tidak bertoleransi yang
berteraskan isu perkauman dan keagamaan.
"Malaysia
tidak boleh berjaya sebagai sebuah negara sehinggalah semua rakyat
Malaysia mengutamakan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia dahulu,
sebelum identiti kaum atau agama mereka," katanya dalam satu kenyataan
pada Isnin.
Kenyataan Ahli Parlimen
Iskandar Puteri itu dikeluarkan sempena memperingati hari kelahiran,
Tunku Abdul Rahman yang ke-118 tahun.
Kit
Siang menjelaskan tidak ada mana-mana pihak yang mahu rakyat Malaysia
berhenti daripada menjadi seorang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban,
atau Muslim, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, atau Taoist.
Namun
beliau menegaskan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan
bangsa perlu bersama dan bersatu padu sebagai rakyat Malaysia.
"Kita
perlu beringat kepada kata-kata Tunku, untuk Malaysia menjadi “sinar
cahaya yang menerangi dunia yang kelam dan terganggu” dan menjadi contoh
kejayaan Gabungan Tamadun dunia, di mana Malaysia menjadi pusat
pertemuan empat kebudayaan besar dunia - Tamadun Islam, Cina, India, dan
Barat - dan bukannya menjadi kegagalan akibat pertembungan di antara
tamadun-tamadun ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.