HALAMAN SANTAI

Jumaat, 5 Februari 2021

“Kalau tahu ini yang berlaku, saya akan pilih orang lain jadi AG”

KUALA LUMPUR – “Jika saya tahu ini akan berlaku, sudah tentu saya akan pilih orang lain sebagai Peguam Negara.”

Dalam nada seperti sedikit kesal, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau menyangkakan Tan Sri Tommy Thomas seorang yang sangat profesional untuk menjalankan tugas sebagai Peguam Negara tetapi nampaknya tidak.

“Pada masa itu saya fikir ia akan menjadi sesuatu yang baru untuk melantik seorang profesional sebagai Peguam Negara seperti disangkakan,” kata Perdana Menteri Ketujuh itu dalam wawancara bersama portal berita Free Malaysia Today.

Seperti mana lazimnya, Dr Mahathir sekali lagi mengaitkan dengan sesuatu ‘kesilapan’ di era pentadbirannya dengan satu pihak lain.

Kali ini, Ahli Parlimen Langkawi itu mengulangi yang mencadangkan Tommy sebagai Peguam Negara adalah dari pihak lain dan bukan beliau sendiri.

“Semasa menjadi Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Zainur Zakaria (peguam) mencadangkan Tommy sebagai Peguam Negara.

“Dan saya fikir Tommy akan menjadi Peguam Negara yang baik dan profesional yang akan menjalan tugas mengikut kehendak undang-undang.

“Bukannya kerana apa yang saya suruh minta dia buat,” jelasnya.

Dalam temu bual itu, Dr Mahathir mengakui bersedia untuk mempertahankan Tommy kerana menyedari pelantikannya bakal menimbulkan kritikan ramai.

“Walaupun sedikit kerisauan saya setuju melantik beliau. Menyedari hal ini tak akan diterima baik oleh orang Melayu kerana ini juga kali pertama Peguam Negara bukan Melayu setelah sekian lama.

“Namun saya sedia mempertahankan beliau, tetapi jika ini (prestasi Tommy) akan berlaku sudah tentu saya akan mencari orang lain,” jelasnya.

Prestasi Tommy sebagai Peguam Negara sering menjadi kritikan pelbagai pihak sebelum ini terutama berhubung keputusannya sebagai Pendakwa Raya dalam memulakan atau menghentikan pendakwaan.

Dengan penerbitan memoir terbarunya, ia membangkitkan lagi kritikan kepada Tommy selain beberapa kandungan dalam buku itu sendiri menjadi kontroversi kerana pandangannya dalam beberapa isu.

Setakat ini, beberapa repot polis telah dibuat dan saman sivil juga dimulakan atas kandungannya.

Malah pengganti Tommy, Tan Sri Idrus Harun turut menyifatkan pandangan peguam itu terhadap pegawai Jabatan Peguam Negara sebagai dangkal.

Turut menjadi perhatian apabila Tommy mempertikai Dr Mahathir melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Ketujuh seperti peristiwa Langkah Sheraton.

Tiada ulasan: