Para pemimpin Pakatan Harapan (PH) sangat terkenal dengan semangat keberanian yang luar biasa.
Mereka berani dalam segala hal. Berani berhujah, berani berpolitik, berani menghina, berani bertengkar malah ‘berani mati’ juga.
Tidak hairanlah ketika berdemonstrasi ada sebahagian pemimpinnya sanggup berbaring di atas jalan raya seolah-olah sanggup mati digilis atau dilanggar kenderaan.
Pendek kata, parti ini berani dalam segala segi kecuali satu pilihan raya. Pakatan Harapan sangat takut berhadapan dengan pilihan raya.
Perkara ini terbukti dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh tiga Setiausaha Agung parti utama dalam PH iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PKR), Datuk Dr. Hatta Ramli (Amanah) dan Loke Siew Foke (DAP).
Ketiga parti tersebut sepakat berpendirian tidak mahu pilihan raya umum (PRU) diadakan kerana mendakwa rakyat Malaysia tidak inginkan pilihan raya pada waktu ini, tetapi mahu kestabilan politik untuk menyelesai isu pandemik dan ekonomi.
Sejak kehilangan kuasa pada Mac tahun lalu setelah 22 bulan memerintah, PH sangat terdesak untuk berkuasa semula tetapi bukan dengan pilihan raya. Mereka mahu memerintah semula dengan cara menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Sudah banyak kali Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba mengumpul sokongan termasuk daripada ahli-ahli Parlimen blok kerajaan bagi membentuk kerajaan tetapi gagal, gagal dan terus gagal.
Sudah banyak kali juga beliau mengumumkan kerajaan sekarang sudah ‘tidak sah’ kerana kehilangan majoriti atau sokongan tetapi semuanya tidak benar dan sekadar dakwaan palsu.
Malah pada satu peringkat Anwar sanggup menyerahkan jumlah bilangan ahli Parlimen yang didakwa sudah menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Agong walaupun realitinya beliau tidak mempunyai jumlah dan nama ahli Parlimen pun.
Parti itu juga tidak selesa dengan janji Muhyiddin mahu mengadakan
PRU sebaik sahaja pandemik Covid-19 berakhir. Mereka seolah-olah
‘kerengsaan’ setiap kali mendengar perakuan Perdana Menteri pilihan raya
tetap akan diadakan apabila pendemik ini reda.
Kenapa sampai sedemikian rupa?
Melihat kepada perkembangan politik semasa akhir-akhir ini, PH faham benar pilihan raya bukan jalan terbaik untuk parti itu kembali berkuasa. Gabungan parti tersebut sangat bimbang untuk mengulangi prestasi mereka sebagaimana dalam PRU yang lalu.
Dalam keadaan parti-parti pembangkang berpecah teruk, sudah tidak nampak sebarang jalan PH bakal menambahkan jumlah kerusi sedia ada. Kalau dapat mengekalkan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu pun sudah dikira cukup baik. PH melihat Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu, Barisan Nasional (BN) dan Pas sebagai halangan terbesar mereka untuk kembali berkuasa.
Oleh yang sedemikianlah, PH bermati-matian mahu ‘mandat rakyat dikembalikan’ tanpa menyedari ‘mandat rakyat’ yang diperoleh pada PRU-14 itu sebenarnya diberikan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menggunakan cukup-cukup isu skandal 1MDB Datuk Seri Najib Tun Razak. Mandat rakyat yang dimaksudkan itu bukan mandat kepada Anwar jauh sekali kepada Lim Guang Eng atau Mohamad Sabu!
Sementara masih ada waktu-waktu yang tersisa ini, PH akan berbuat apa sahaja bagi memastikan PRU tidak diadakan. Ini termasuklah mencabar pengisytiharan Proklamasi Darurat di mahkamah dengan harapan Parlimen dapat bersidang seperti biasa dan mereka boleh mencuba undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri.
Ada satu perkara yang perlu diingat. Kalau PH dengan begitu yakin mendakwa mempunyai sokongan mencukupi untuk kembali berkuasa, apa salahnya jika PN juga dengan penuh keyakinan mendakwa mereka mempunyai lebih daripada mencukupi untuk terus berkuasa!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.