
PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki bersyukur apabila usaha bagi mengisytiharkan parti itu sebagai tidak sah gagal selepas dikatakan melanggar perlembagaan.
Asyraf berkata demikian selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan 16 bekas ahli Umno untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman untuk mencabar kesahihan parti itu.
“Alhamdulillah, usaha mengharamkan Umno gagal. Allah pelihara Umno!” kata beliau di Facebook.
Terdahulu, mahkamah menolak permohonan itu kerana Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu sudah mengadakan pemilihan.
Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed berkata rayuan itu kini bersifat akademik kerana parti itu sudah mengadakan pemilihan parti di semua peringkat.
Katanya, 16 bekas ahli Umno itu tidak mempunyai locus standi untuk membawa perkara itu ke mahkamah kerana mereka bukan lagi ahli parti.
Pada 2016, mereka memperoleh kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menolak permohonan mereka mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman.
Dalam permohonan itu, mereka memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) seperti diumumkan menerusi kenyataan media bertarikh 5 Mac 2018, dalam memberi Umno lanjutan tempoh untuk mengadakan pemilihan parti sehingga 19 April 2019, yang melepasi tempoh maksimum.
Enam belas bekas ahli Umno itu adalah Salihudin Ahmad Khalid, Noorhalimi Yahya, Mariam Mohd Ishak, Mohd Hafami Hanif, Saharudin Tukiman, Azaid Jani, Normalawati Hassan, Radiana Abd Manaf, Mohd Rafeek Rahim, Nurul Hanna Mohd Suhot, Kamarul Abd Wahid, Mohd Hikamal Md Hassim, Muzamzamir Abd Wahab, Norizam Jamaludin, Rohani Ahmad dan Muhamad Hafizi Hashim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.