HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Mac 2021

Suara masyarakat sivil disekat pada tahun pertama PN berkuasa, kata kumpulan hak asasi

Satu adegan daripada dokumentari Al Jazeera, yang didakwa memburukkan 
pihak berkuasa Malaysia, mengakibatkan rangkaian itu disiasat.

PETALING JAYA: Sebuah laporan mendapati undang-undang yang ketat dan pelaksanaannya semasa tahun pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus menyekat suara masyarakat sivil.

Diterbitkan oleh kumpulan hak asasi Artikel 19 dan Civicus, laporan itu menyatakan kerajaan pimpinan Muyhiddin Yassin gagal memansuhkan atau mereformasi undang-undang yang membatasi kebebasan bersuara, perhimpunan dan persatuan yang aman, sebaliknya mengambil tindakan terhadap pengkritik, aktivis dan wartawan.

“Kerajaan PN sangat berahsia mengenai agenda perundangannya tetapi jelas berhubung niat untuk terus menggunakan undang-undang penindasan yang disasarkan kepada pengkritik dan pembangkang,” kata Nalini Elumalai, pegawai program Malaysia Artikel 19.

“Persekitaran yang sihat untuk wacana awam tidak boleh dicapai sehingga perbezaan pendapat dan pandangan yang tidak popular dihormati dan dilindungi bukannya disenyapkan.”

Laporan itu memetik, 66 kes dalam tahun pertama PN di mana orang awam disiasat atau didakwa bawah Akta Hasutan 1948 atau Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, menggambarkan kesediaan kerajaan untuk melumpuhkan hak mereka yang berani bersuara.

“Dalam banyak kes ini, tertuduh adalah pembela hak asasi manusia atau pemimpin masyarakat sivil,” katanya.

Turut dikesali, kekurangan dalam Akta Perhimpunan Aman, yang menolak hak kanak-kanak dan bukan warganegara untuk melakukan protes secara aman dan tidak membenarkan demonstrasi secara spontan, yang menurut laporan itu “tidak memenuhi undang-undang dan standard antarabangsa”.

Akta Pertubuhan, menurutnya, terus menghalang hak mendapatkan kebebasan berpersatuan, seperti ditunjukkan oleh halangan yang dihadapi parti pembangkang Pejuang dan Muda dalam usaha mendaftar secara rasmi “berbanding dengan pendaftaran segera PN itu sendiri “.

Laporan itu juga menggambarkan tindakan diambil terhadap portal berita seperti Malaysiakini, baru-baru ini didenda RM500,000 kerana menghina mahkamah, dan Al Jazeera, yang disiasat berhubung laporan berkaitan pendatang semasa pandemik, sebagai contoh “had yang diberikan terhadap kebebasan akhbar” .

Kumpulan tersebut mendesak kerajaan melakukan reformasi perundangan dan institusi yang komprehensif untuk memperbaiki kekurangan, dan memastikan proses yang telus dan inklusif masyarakat sivil.

Tiada ulasan: