HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Mei 2021

Petisyen gesa wakil rakyat terima pemotongan gaji 50% sepanjang wabak

Tangkap layar petisyen yang dimulakan oleh seorang individu bernama 
Francis Carlos di Change.org.

PETALING JAYA: Satu petisyen dilancarkan di Change.org mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, anggota Jemaah Menteri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk tidak mengambil 50% daripada gaji mereka sebaliknya menyumbangkannya kepada dana Tabung Prihatin.

Petisyen, yang dimulakan semalam oleh seorang individu bernama Francis Carlos, memperoleh hampir 11,000 tandatangan menjelang jam 7 malam.

Katanya, disebabkan penutupan Parlimen dan DUN akibat darurat, wakil rakyat tidak dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka untuk memenuhi keperluan rakyat semasa wabak Covid-19.

Petisyen berkenaan menggesa semua wakil rakyat menunjukkan rasa belas kasihan kepada rakyat dan menawarkan diri agar gaji mereka dipotong 50% sepanjang wabak.

“Ini dapat membantu menyokong dan menyediakan bantuan kewangan bagi rakyat B40 dan M40 yang terjejas akibat ‘lockdown’,” kata petisyen itu.

Ketika dihubungi, seorang Ahli Parlimen yang tidak mahu namanya diketahui, berkata rakyat tidak tahu bahawa wakil rakyat perlu membayar gaji kakitangan, pusat khidmat dan memberi sumbangan kepada penduduk di kawasan dari poket mereka sendiri.

“Bagi peruntukan tahunan untuk kawasan, kerajaan persekutuan hanya beri Ahli Parlimen pembangkang RM100,000, sementara wakil rakyat kerajaan dapat RM3.7 juta. Pada hujung bulan, kami hanya dapat simpan RM50% untuk kegunaan keluarga kami.

“Menteri dan timbalan mereka, pengerusi GLC serta mereka yang dilantik ke lembaga pengarah mendapat gaji dan elaun, sebagai tambahan kepada peruntukan tahunan. Mungkin orang ramai perlu minta golongan Ahli Parlimen begitu untuk menyumbang kepada dana berkenaan,” katanya.

Tiada ulasan: