HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Jun 2021

Sidang Parlimen khas sebelum 1 Ogos, kata Yang Dipertua


Sidang Parlimen akan diadakan sebelum 1 Ogos.

Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara mencadangkan persidangan khas Parlimen untuk diadakan sebelum 1 Ogos ini mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Dalam satu kenyataan bersama, Yang Dipertua Dewan Negara Senator Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan majlis menghadap semalam.

Menurut kenyataan itu, pada majlis menghadap berkenaan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menzahirkan titah pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos ini.

Majlis itu turut dihadiri timbalan-timbalan Yang Dipertua kedua-dua dewan.

“Kedua-dua Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan telah menyatakan komitmen dan kesediaan penuh Parlimen Malaysia untuk mengadakan persidangan Parlimen seperti yang dititahkan oleh Baginda Tuanku,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah menzahirkan agar sidang Parlimen dijalankan secepat mungkin semasa pertemuan dengan kedua-dua Yang di-Pertua (Speaker) Dewan Negara dan Dewan Rakyat di Istana Negara.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Agong semasa pertemuan satu jam dengan Speaker menzahirkan Sidang Parlimen perlu dibuka dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan oleh Kerajaan dan Parlimen.

“Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan dan Parlimen Malaysia.

“Ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook Istana Negara.

Tiada ulasan: