TUN Dr. Mahathir Mohamad menyuarakan kebimbangan terdapat kemungkinan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menyelamatkan pemimpin UMNO yang terpalit dengan kes mahkamah atau digelar ‘kluster mahkamah’ daripada tuduhan.
Dalam wawancara dengan Insight Talk, Dr. Mahathir berkata, perkara itu mungkin berlaku memandangkan kuasa Ismail Sabri selaku Perdana Menteri mengatasi Peguam Negara dalam kerajaan.
Kata beliau, pemimpin UMNO yang berada dalam kelompok ‘kluster mahkamah’ termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula lebih kanan daripada Ismail Sabri yang merupakan Naib Presiden UMNO.
“Itu tak boleh (selamatkan kluster mahkamah). Jangan sentuh undang-undang. Pentadbiran mengikut undang-undang. Jangan cuba campur tangan dan pengaruhi mahkamah atau Peguam Negara.
“(Peguam Negara) duduk di bawah Perdana Menteri. Dia boleh kata tiada kes. (Jika ada) 46 kes mahkamah, nanti tiba-tiba tiada kes,” kata Dr. Mahathir.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi itu juga tidak menolak andaian bahawa perkara itu mungkin akan berlaku memandangkan terdapat keputusan yang kini nampak memihak kepada ‘kluster mahkamah’.
Sebagai contoh, kata Dr. Mahathir, keputusan mahkamah memulangkan wang ratusan juta yang dirampas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan kes dihadapi Perdana Menteri keenam itu.
“Macam-macam, orang ada yang curi (ratusan) juta bagi balik. Bagi balik pada pencuri. Jackpot lah (menang judi besar),” katanya.
Kenyataan beliau merujuk kepada keputusan mahkamah memulangkan RM114 juta yang dirampas daripada Najib selepas menolak pendakwaan melucut hak aset terbabit.
Dr. Mahathir juga memberi amaran, walaupun tidak terlibat dengan kegiatan salah laku yang didakwa dilakukan Najib, Ismail Sabri tetap akan memikul bebannya.
Malah sekiranya Ismail Sabri mengikut dasar “cash is king” iatu memberi wang tunai bagi mendapatkan sokongan, Ahli Parlimen Bera itu juga sama seperti Najib.
“Dia tidak terlibat dengan kegiatan yang diamalkan oleh Najib, setakat kita tahu tetapi kalau dia ambil orang itu sokong maka dia akan dapat pengajaran yang buruk.”
“Kalau dia kata cash is king. Saya ingat (pimpinan Muhyiddin) tiada perubahan. Ia akan jadi apa berlaku zaman Najib dan Muhyddin,” katanya.
Ditanya mengenai apa pandangan beliau tentang kepimpinan Ismail, Dr Mahathir kata ia belum teruji kerana terlalu awal.
“Saya percaya di kalangan orang muda ada yang berbakat tapi kita belum tahu kebolehan mereka.
“Pengalaman mereka kurang kalau berbanding dengan orang yang sudah lama jadi pemimpin,” katanya lagi.
Najib berjaya meraih semula wang RM114 juta pada Jun lalu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan aset tersebut diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram.
Wang tersebut antara hasil operasi merampas harta bernilai lebih RM1 bilion yang dijalankan selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara selepas pilihan raya 2018.
Ia dijalankan sewaktu kerajaan dipimpin Dr. Mahathir yang konsisten menggelar Najib sebagai pencuri.
Najib kini sedang merayu selepas dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta bagi tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang dan salah guna kuasa.
Kes melibatkan penggelapan RM42 juta dana 1MDB dan SRC International itu antara pelbagai tuduhan dihadapi Najib di mahkamah pada waktu ini.
Ahmad Zahid pula berdepan 47 pertuduhan yang mana 12 daripadanya melibatkan jenayah pecah amanah, lapan tuduhan rasuah.
Selain itu, beliau juga berdepan 27 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Ahmad Zahid semalam tidak hadir ke mahkamah bagi salah satu kesnya kerana mendakwa mengalami kecederaan selepas terjatuh, yang menimbulkan kemarahan hakim.
Empat lagi ahli Parlimen Umno yang meraih jolokan “kluster mahkamah” itu termasuk Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan dan bekas menteri, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Kes Ahli Parlimen Pontian itu mengelak cukai pendapatan berjumlah RM2 juta baru bermula dan ahli Parlimen Putrajaya itu pula dilepaskan daripada tuduhan rasuah RM1 juta.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.