HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Oktober 2021

Tak terkejut Mohamaddin keluar parti, bukan mudah jadi wakil rakyat jujur, kata pemimpin Warisan

Ahli Majlis Tertinggi Warisan Azhar Matussin mendakwa Mohamaddin Ketapi, 
mengabaikan parti dan rakyat yang telah memberinya mandat.

KOTA KINABALU: Warisan sudah menjangka tindakan Ahli Parlimen Lahad Datu Mohamaddin Ketapi keluar daripada parti itu, sambil menyatakan bukan mudah untuk beliau menjadi wakil rakyat jujur.

Ahli Majlis Tertinggi Warisan Azhar Matussin, berkata selain itu bukan tugas mudah bagi wakil rakyat untuk setia kepada mandat rakyat, sekali gus mengutamakan perjuangan memartabatkan bangsa Sabah.

Katanya, memilih jalan senang dengan membelakangkan mandat sudah diberikan dalam pilihan raya negeri (PRN) adalah tidak wajar diterima semua pihak.

“Mohamaddin lari dari perjuangan meninggalkan rakan-rakan seperjuangan. Sekarang beliau bersekongkol dengan pihak yang dulu dikatakan tidak baik. Apa-apa pun rakyat tahu menilai bila tiba masanya nanti.

“Apa-apa pun kita ucapkan selamat maju jaya kepada Mohamaddin Ketapi. Kami yang masih dalam Warisan tetap akan bersama-sama kepimpinan Warisan yang diterajui Presiden Mohd Shafie Afdal,” katanya.

Beliau mengulas tindakan Mohamaddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, hari ini, mengumumkan keluar Warisan.

Mohamaddin, 64, berkata beliau bertindak keluar parti bagi memberi tumpuan untuk memaju dan membangunkan Parlimen Lahad Datu serta DUN Segama, yang menurutnya tiada kemajuan sampai ke kawasan berkenaan.

Azhar yang juga ADUN Darau, berkata setakat ini beliau yakin rakan-rakan ADUN lain tetap fokus membantu rakyat terkesan dengan penularan Covid-19, sekali gus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat diwakili.

“Kita tetap fokus membantu rakyat yang sangat memerlukan perkhidmatan wakil rakyat di kawasan mereka,” katanya.

Azhar berkata, tiada keperluan bagi ADUN untuk melompat parti dengan memberi alasan fokus berkhidmat di kawasan diwakili, berikutan kerajaan negeri sedia ada akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembangunan, di kawasan diwakili mereka.

“Kita tidak lari dengan pendirian asal selepas dilantik menjadi ADUN untuk tetap dengan pendirian kekal bersama Warisan,” katanya.

Tiada ulasan: