
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Melaka tidak bercadang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung perkembangan politik terkini yang berlaku di negeri itu..
Pengerusinya, Adly Zahari berkata, fokus ketika ini adalah untuk membawa isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ke mahkamah bagi mempertikaikan proses dan fakta pembubaran.
Bekas Ketua Menteri itu berkata, ia termasuk menghormati Perkara 19(2) perlembagaan negeri.
Semalam, media melaporkan semua 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong PH dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.
ADUN Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee berkata, kesemua mereka akan ke Istana Negara untuk menghadap baginda bagi menyelesaikan krisis pembubaran DUN Melaka, menurut laporan Berita Harian.
Terdahulu, Adly pada sidang media semalam menegaskan pengisytiharan darurat untuk menangguhkan pilihan raya negeri (PRN) hanya akan mewujudkan persepsi negatif dan kesan buruk terhadap negeri dan rakyat.
Beliau berkata, ini kerana Melaka baharu sahaja memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan tidak seharusnya mengambil tindakan ke belakang yang akan merosakkan ekonomi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.