MALAYSIA POST
AHLI Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan beliau akan pulang ke Pahang esok bagi membantu mangsa yang terkesan akibat banjir besar yang melanda negeri itu.
Bekas Perdana Menteri itu, berkata beliau perlu menyelesaikan urusan di mahkamah terlebih dahulu sebelum pulang ke kawasannya esok.
“Keadaan banjir di Pahang amat teruk. Sepanjang masa setiap hari saya sentiasa berhubung dengan team Pahang dan Pekan.
“Ada beberapa pasukan yang telah saya aturkan. Kita bantu penduduk kampung, bawa ke pusat penempatan sementara,” katanya.
Najib berkata, buat masa ini segala keperluan asas juga sudah dihantar kepada mangsa-mangsa banjir di kawasannya.
“Bagi saya selesaikan urusan di mahkamah beberapa hari ini. Saya akan balik ke Pahang esok sendiri dengan keperluan tambahan.
“Semoga Allah SWT melindungi kita semua dari musibah banjir ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang memaklumkan empat daerah di negeri itu melibatkan Temerloh, Bera, Maran dan Pekan, dijangka menerima limpahan air hulu sungai yang bakal mengakibatkan banjir lebih besar dalam masa terdekat.
Pengarahnya, Che Adam A Rahman berkata, pihaknya sudah bersedia dengan kemungkinan itu dan meminta penduduk yang tinggal di kawasan rendah atau berhampiran sungai supaya bersedia.
“Penduduk atau komuniti yang berisiko banjir kita sudah maklum awal mengenai kebarangkalian ini.
“Sekiranya ia (limpahan air sungai) turun ke Pekan nanti, sebahagian penduduk yang berhampiran dengan sungai, kawasan lembah dan sebagainya, mereka telah pun bersedia untuk dipindahkan bila-bila masa diperlukan,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.