Halaman

Khamis, 23 Disember 2021

Banjir: Zahid gesa Tengku Zafrul benar pengeluaran i-Citra RM10,000

MALAYSIA POST

Banjir: Zahid gesa Tengku Zafrul benar pengeluaran i-Citra RM10,000

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz segera membenarkan pengeluaran skim i-Citra RM10,000 untuk meringankan beban rakyat terutama mangsa banjir.

Beliau berkata, secara tidak langsung wang itu dapat digunakan mangsa banjir untuk kembali bangkit daripada kemusnahan dan memulakan kehidupan baharu.

“Dalam keadaan ini, amat wajar Menteri Kewangan memenuhi permintaan rakyat agar skim i-Citra dilanjutkan.

“Bantuan kerajaan berserta RM10,000 wang KWSP pasti sedikit sebanyak membantu mereka ‘bernafas semula’,” katanya menerusi Facebook.

Manakala, Ahmad Zahid berkata, mereka yang tidak terjejas banjir juga memerlukan pengeluaran wang berkenaan untuk bangkit semula dari kemelut ekonomi.

“Kumpulan Bank Dunia dilaporkan turut menyarankan kerajaan meneruskan bantuan pendapatan sedia ada bagi tempoh minimum enam bulan lagi.

“Ia demi memastikan kelangsungan sokongan kewangan kepada rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan rentan.

“Ingatlah. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, semalam beliau berkesempatan melawat beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan kawasan terjejas akibat banjir.

Katanya, hatinya sayu melihat nasib mereka yang ditimpa musibah kerana rata-ratanya tinggal sehelai sepinggang.

“Banjir berlaku dengan pantas menyebabkan mereka tidak sempat berbuat apa-apa selain menyelamatkan diri serta keluarga.

“Saya fikir kesemua mangsa banjir ini perlu dibantu sehabis baik untuk mendepani saat-saat sukar begini,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kerajaan telah mengumumkan sejumlah bantuan kewangan, tetapi itu harus diakui belum mencukupi.

“Mangsa memerlukan modal untuk membina semula kehidupan selepas bencana ini berakhirnya sepenuhnya.

“Mencukupkan semula kelengkapan dan keperluan diri serta keluarga yang telah musnah akibat ditenggelami air.

“Kenderaan, perabot serta peralatan rumah, pakaian, makanan dan segala-galanya. Bagi peniaga pula perlu melengkapkan semua peralatan perniagaan untuk kembali mencari rezeki,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, hujan lebat berterusan sejak Jumaat lalu menyebabkan beberapa negeri dilanda banjir besar termasuk melumpuhkan kegiatan ekonomi serta mengorbankan nyawa.

Antara negeri yang terjejas termasuk Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang dan Terengganu. – Malaysiapost

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.