Halaman

Khamis, 16 Disember 2021

Mana kad laporan 100 hari 4 duta khas – soal Kit Siang

MALAYSIA POST

Mana kad laporan 100 hari 4 duta khas – soal Kit Siang

VETERAN DAP, Lim Kit Siang menyeru empat duta khas bertaraf menteri menunjukkan kad laporan 100 hari untuk rakyat menilai prestasi kerja yang telah dilaksanakan.

Dalam kenyataannya, Kit Siang membangkitkan persoalan adakah empat duta khas itu telah menyerahkan kad laporan 100 hari mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelasnya, rakyat berhak mengetahui prestasi Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas ke Timur Tengah, Datuk Seri Tiong King Sing (China) , Datuk Seri Richard Riot (Asia Timur) dan Tan Sri S Vigneswaran (India dan Asia Selatan) memandangkan gaji mereka dibayar melalui dana awam.

“Bolehkah empat duta khas – Abdul Hadi Awang, Tiong King Sing, Richard Riot dan SA Vigneswaran – mengeluarkan kad laporan 100 hari mereka? Jika tidak, apakah fungsi mereka ini?” soalnya dalam kenyataan.

Kit Siang yang merupakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, beliau pernah bertanya sama ada Abdul Hadi dilarang ke Arab Saudi dan tidak pernah mengunjungi negara itu sejak pelantikannya pada April 2020, tetapi tiada jawapan diberikan.

“Apa gunanya duta atau wakil khas sebuah rantau sedangkan beliau tidak boleh melawat negara itu atau rantau yang beliau dipertanggungjawabkan?

“Berapa kali Tiong melawat China sejak pelantikannya dan apa yang beliau lakukan untuk mewajarkan pelantikannya? Soalan sama turut ditujukan kepada Hadi, Riot dan Vigneswaran,” katanya.

Kit Siang juga menjelaskan, perkara ini dibangkitkan berdasarkan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad di Parlimen yang memberitahu Perdana Menteri mempunyai empat duta khas dan seorang penasihat yang keseluruhannya dibayar RM136,136 sebulan. – Malaysiapost

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.