MALAYSIA POST
TAN Sri Noh Omar bukan sahaja perlu disingkirkan sebagai Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor tetapi juga perlu dipecat daripada jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kata Veteran DAP, Lim Kit Siang.
Kit Siang berkata, tindakan berkenaan wajar diambil susulan prestasi buruk Noh dalam mengendalikan bencana banjir besar di Selangor, baru- baru ini.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana Noh boleh mendapat markah 90 peratus untuk prestasi 100 hari pertamanya sebagai Menteri.
“… sedangkan apa yang beliau layak terima hanyalah -90% untuk prestasinya sebagai Pengerusi MKN Selangor dengan pengurusan buruknya dalam bencana banjir besar di Selangor.
“Memang layaklah beliau dihentam teruk seorang mangsa banjir semasa melawat pusat pemindahan di Selangor susulan respon kerajaan yang lambat dalam menyelamatkan mangsa yang terperangkap.
“Sikap tidak bertanggungjawab dan kecuaian Noh ditonjolkan oleh Menteri Besar Selangor, (Datuk Seri) Amirudin Shari, yang berkata jika beliau menjadi ketua MKN Selangor, beliau akan memanggil tentera dan tentera untuk membantu menguruskan banjir besar itu,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Kit Siang berkata MKN berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, dan pada November jawatan Pengerusi MKN Selangor diserahkan kepada Noh.
“Adakah Noh Omar mengadakan sebarang mesyuarat MKN Selangor sebelum banjir besar di Selangor hujung minggu lalu?
“Amirudin hanya dilantik semula sebagai pengerusi MKN Selangor semalam (kelmarin),” katanya.
Dalam pada itu, Kit Siang berkata, satu lagi cabang kerajaan yang ‘sangat lalai’ ialah Dewan Rakyat kerana enggan mengadakan perbahasan khas mengenai banjir besar di Selangor dan Pahang.
“Saya bersetuju sepenuhnya dengan gesaan Ketua Pembangkang (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pengurusan bencana banjir besar di Selangor dan Pahang sebelum dan selepas banjir diadakan.
“Ia berserta dengan jawatankuasa khas Parlimen mengenai tindak balas lambat kerajaan terhadap banjir besar ini,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.