Amri
PARTI Warisan Sabah (Warisan) akan bertapak ke semenanjung menerusi pelancaran peringkat nasional parti itu di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur, Jumaat ini.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pelancaran itu akan melenyapkan segala tohmahan terhadap Warisan kononnya partinya tiada kekuatan, tidak relevan sekali gus bakal terkubur.
Katanya, ramai beranggapan parti yang ditubuhkan sejak 2016 itu tidak akan bertahan lama.
“Warisan bukan saja berjaya mentadbir kerajaan negeri Sabah dengan baik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), malah berjaya memperjuangkan hak-hak serta membawa suara rakyat di dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan lebih kuat dan lantang.
“Ini yang akan kita teruskan, memberikan pilihan kepada rakyat supaya dapat menilai kualiti barisan kepimpinan negara pada hari ini,” katanya di Facebook, hari ini.
Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna itu menjelaskan, negara mampu mencapai banyak lagi kejayaan jika semua rakyat berpadu.
“Ketepikan perbedaan baik dari segi kaum, agama dan bangsanya. Anak cucu kita layak mendapat yang lebih baik untuk masa depan mereka.
“Insyallah, majlis pelancaran Parti Warisan peringkat nasional akan diadakan pada Jumaat ini,” katanya.
Sebelum ini, Mohd Shafie memaklumkan Warisan akan melebarkan sayapnya ke Semenanjung namun tidak memaklumkan negeri pertama bagi majlis pelancaran itu. -Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.