HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Januari 2022

MUDA sah bertanding kali pertama di PRN Johor

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman GAMBAR: Abd Razak Aid

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan tampil buat kali pertama dalam arena politik negara selepas disahkan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tidak lama lagi.

Perkara itu dimaklumkan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi hantaran di Facebook rasminya, malam tadi.

“MUDA secara rasminya akan bertanding di dalam PRN Johor 2022.

“Johor adalah permulaan bagi MUDA. MUDA adalah perubahan bagi Johor.

“Mari kita membina Johor yang lebih makmur dan bersatu bersama,” katanya dalam hantaran itu.

Rabu lalu, Pengerusi MUDA Johor, Mohd. Azrul Ab. Rahani berkata, status anak jati menjadi kelebihan buat Syed Saddiq dalam PRN Johor.

Beliau turut membayangkan Ahli Parlimen Muar itu akan bertanding dalam PRN tersebut.

Bagaimanapun, MUDA masih belum mengadakan perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH) Johor bagi membentuk kerjasama.

Syed Saddiq sebelum ini memaklumkan MUDA sudah didaftarkan secara rasmi pada 23 Disember tahun lalu.

Menurut beliau, pada ketika itu, MUDA telah menerima lebih daripada 60,000 keahlian daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur.

Proses permohonan keahlian parti MUDA, kata Syed Saddiq, amat mudah dan cepat dilakukan melalui laman web muda.my dan tidak melibatkan sebarang birokrasi.

Tiada ulasan: