HALAMAN SANTAI

Sabtu, 10 November 2007

Angkasawan Dr Faiz tidak digalak nikah sebelum 2011

SHAH ALAM: Bakal angkasawan kedua negara Mej Dr Faiz Khaleed tidak digalakkan berkahwin sehingga misi penghantaran angkasawan kedua ke angkasa lepas pada 2011 selesai.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Jamaludin Jarjis berkata ia bagi memastikan bakal angkasawan kedua itu dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap setiap sesi latihan sebelum misi kedua itu dilaksanakan kelak.

"Saya takut bila beliau (Faiz) berkahwin beliau akan teringatkan isteri dan anak sehingga boleh menjejaskan latihannya terutama bila berada di angkasa lepas nanti," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di Sirim Bhd di sini hari ini.

Jamaludin bagaimanapun berkata saranan itu bukan paksaan dan terpulang kepada Faiz untuk mempertimbangkannya sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Angkasawan pertama negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 34, baru-baru ini mengumumkan bahawa beliau akan menamatkan zaman bujangnya pada 2009.

Jamaludin berkata kerajaan akan terus menghantar Faiz menjalani latihan tidak lama lagi setelah menerima tawaran secara rasmi dari kerajaan Russia melalui Agensi Angkasa Persekutuan Russia (Roskosmos) mengenai kekosongan satu slot untuk menghantar angkasawan kedua negara ke angkasa lepas selewat-lewatnya pada 2011.

"Saya juga akan maklumkan kepada Nasa (Pentadbiran Aeronautikal dan Angkasa Kebangsaan) dan kami akan buat lawatan ke Nasa hujung tahun ini atau awal tahun depan bagi membincangkan rancangan untuk hantar Faiz menjalani latihan di Nasa.

"Oleh itu bila kita hantar calon angkasawan untuk jalani latihan kita kena hantar dua rakyat Malaysia dan insya Allah mulai tahun depan kami akan buat secepat mungkin pemilihan angkasawan yang ketiga," katanya.

Beliau berkata dua calon finalis angkasawan bagi misi pertama dahulu iaitu juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) Mohamed Faiz Kamaluddin, 34, dan jurutera yang juga calon wanita tunggal, S. Vanajah, 35, akan cuba dimasukkan dalam saringan akhir pemilihan yang bakal ditentukan oleh pengurusan jawatankuasa panel pemilihan.

"Sama ada terpilih untuk masuk dalam saringan terakhir saya serah kepada budi bicara pengurusan jawatankuasa panel pemilihan yang dipengerusikan Tun Hanif Omar kerana mereka akan tentukan keadaan dan struktur pemilihan dengan kerjasama Russia dan Nasa," katanya.

Selain itu Jamaludin berkata pihaknya bercadang untuk menjadikan tarikh 10 Okt sebagai Hari Angkasawan sebagai memperingati tarikh Sheikh Muszaphar ke angkasa lepas.

Jika perbincangan untuk membeli pesawat Soyuz TMA11 yang membawa angkasawan pertama itu ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) berjaya, ia akan dijadikan sebagai tugu bagi memperingati tarikh bersejarah itu.

"Kami akan bawa cadangan ini ke Kabinet dan jika diluluskan kami akan jadikan 10 Okt sebagai Hari Angkasawan iaitu hari yang bermakna kepada negara khususnya kepada generasi muda bagi menjadikan kejayaan Muszaphar sebagai pencetus semangat mereka untuk menuntut ilmu pengetahuan secara berterusan," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: