HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 November 2007

Pembangunan hebat: 6 anak luar nikah lahir sehari !

Oleh :AYu

Selepas Barisan Nasional (BN) berjaya mengambil alih pemerintahan Terengganu daripada PAS pada pilihan raya umum 2004 lalu, ramai yang terpesona dan dapat menyaksikan betapa pembangunan semakin hebat di negeri ini sebagaimana yang diuar-uarkan oleh pemimpin yang ada sekarang.

Sebagaimana yang dikatakan oleh pemimpin BN negeri termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, pembangunan yang tidak pernah dilihat, kini boleh dilihat sekalipun apa yang disebut itu bukanlah sesuatu yang asing bagi rakyat negeri ini.

Pemimpin kerajaan BN termasuk Idris tidak lekang daripada mempromosikan pembangunan yang dikatakan hebat dan pesat itu walaupun ianya dilaksanakan oleh kerajaan Pusat seperti pembinaan lebuh raya, pembesaran lapangan terbang, pembinaan universiti dan lain-lain.

Bagaimanapun ternyata dalam masa yang sama, di sebalik pembangunan yang tidak seberapa itu yang dibangga-banggakan oleh Idris dan suku sakatnya, keruntuhan moral di kalangan rakyat terutama golongan remaja semakin parah.

Situasi ini dapat dilihat di kawasan rekreasi atau tumpuan orang ramai termasuk di Pantai Batu Burok dan Taman Shahbandar di sini, pasangan remaja lelaki dan perempuan tidak segan silu berdua-duaan dalam keadaan yang memalukan.

Berpelukan atau berciuman di khalayak ramai bukanlah asing bagi pasangan remaja di negeri ini bahkan ianya semakin menjadi-jadi dan seolah-olah tidak dapat dibendung.

Namun fenomena yang semakin membimbangkan ialah jumlah kelahiran anak tidak sah taraf atau anak luar nikah semakin bertambah sehingga mencapai 178 kes sebulan atau sekitar enam kes sehari.

Gejala kelahiran anak tidak sah taraf semakin menakutkan apabila sebanyak 1,068 kes dilaporkan berlaku dalam tempoh enam bulan tahun lalu.

Ini dinyatakan sendiri Pengarah Kebajikan Masyarakat negeri, Adnan Abu Bakar sebagaimana laporan media baru-baru ini.

Menurutnya, kelahiran seumpamanya itu berlaku 52 kes pada 2000, 114 (2001), 175 (2002), 206 (2003), 193 (2004) dan 328 (2005).

Beliau mengakui gejala itu satu peningkatan kerana angka itu tidak termasuk yang dilaporkan pada 2006 dan tahun ini.

Antara sebab peningkatan gejala tersebut kerana bertambahnya kejadian rogol, sumbang mahram dan perzinaan di kalangan remaja.

Berdasarkan jumlah tersebut, kadar kelahiran anak tidak sah taraf di negeri ini melangkau jumlah yang dilaporkan berlaku di sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur dikatakan bahawa setiap bulan lebih kurang 100 bayi luar nikah dilahirkan.

Dengan jumlah kelahiran anak tidak sah taraf sebanyak 178 kes sebulan itu menunjukkan bahawa betapa seriusnya gejala sosial di kalangan rakyat di negeri ini terutama golongan remaja.

Melalui slogan Islam Hadhari, Terengganu Bestari, ternyata pembangunan pesat yang dikatakan berlaku di negeri ini sekarang, tempiasnya turut melibatkan kes kelahiran anak tidak sah taraf yang juga `pesat’ berkembang.

Atau ini juga yang dikatakan sebagai `tidak pernah didengar dan dilihat’ seperti mana dakwaan pemimpin BN negeri yang mengaitkannya dengan pembangunan yang berlaku hari ini.

Secara perbandingan, angka 178 kelahiran sebulan mengatasi jumlah yang berlaku dalam masa setahun pada zaman pemerintahan PAS sebelum ini iaitu tahun 2000 hingga 2002.

Walaupun isu kelahiran anak luar nikah bukan perkara baru, namun `kebanjiran’ mereka di negeri ini adalah sesuatu yang amat membimbangkan kerana yang pastinya jumlah tersebut memberi gambaran bahawa kepincangan masyarakat kini semakin parah.

Justeru itu, pemimpin BN negeri terutama Idris jangan mendabik dada kononnya berjaya membawa pembangunan sebaliknya gagal menangani keruntuhan moral rakyat.

Budaya hedonisme yang diwujudkan oleh kerajaan negeri dengan berleluasanya gejala pergaulan bebas, penguatkuasaan syariah yang tidak aktif dan program pembangunan insan dan keagamaan yang diabaikan adalah antara punca merebaknya penyakit sosial termasuk kelahiran anak tidak sah taraf.

Tiada ulasan: