Bandaraya Kuala Terengganu - Arak lebih kotor dari sampah.
Ditulis oleh Wan Kay.
Kuala Terengganu – Kuala Terengganu sebagai bandaraya menghadapi masalah yang lebih berat dari menjaga dan mengekalkan kebersihan. Cabaran kepada Datuk Bandar untuk membersihkan bandaraya itu dari kekotoran arak adalah lebih berat sebagai tanggungjawab seorang Islam.
Di sebuah kompleks yang terkenal yang terletak ditengah-tengah Bandaraya Kuala Terengganu, botol-botol minuman keras bersepah di kawasan letak kereta. Kompleks yang menempatkan ruang pejabat, premis perniagan, salon, kedai makan, pusat snoker dan pusat hiburan seolah-olah seperti ‘rumah hantu’ dengan sampah sarap yang berselerakkan.
Botol-botol arak dan sampah yang bersepah adalah dipercayai perbuatan remaja yang ramai berkunjung ke Kompleks tersebut kerana terdapat deretan pusat karaoke ‘terbuka’ yang terletak ditingkat satu. Anehnya para remaja bebas keluar masuk premis itu, seawal jam 11 pagi, untuk berkaraoke dan melakukan aktiviti-aktiviti tidak sihat yang lain, seolah-olah tidak ada undang-undang atau peraturan berkaitan pusat hiburan.
Temubual dengan beberapa pekerja di kedai-kedai berhampiran kompleks tersebut, memberikan jawapan bahawa mereka merasa cukup bimbang apabila bertembung dengan remaja ‘mabuk’ dan penagih yang berkeliaran. Lebih malang lagi, majoriti remaja dan penagih adalah dikalangan Melayu dan Islam.
Kejadian yang menimpa kepada seorang peniaga, Mohd Fakhrul Razi Jamaludin, 23, pada malam tahun baru yang lalu menunjukkan bahawa gejala meminum arak adalah amat serius (rujuk berita). Kemunculan sebuah Hypermarket yang mempromosikan jualan arak juga dilihat sebagai penyumbang kepada gejala ketagihan arak.
Gejala orang Melayu Islam di Kuala Terengganu meminum arak secara terbuka bukanlah suatu benda yang baru. Gejala ini malah dilaporkan turut melibatkan kalangan profesional Melayu, kakitangan awam dan swasta. Beberapa kedai milik bukan Islam di Jalan Tok Lam, Jalan Engku Sar, Jalan Air Jernih, Jalan Cherong Lanjut dan Jalan Sultan Zainal Abidin – kesemuanya di bandar Kuala Terengganu dikatakan ‘hidup’ dan beroperasi setiap malam walaupun sering diserbu pihak berkuasa. (Harian Metro, 25 Januari 2006).
Ada juga penagih arak memesannya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). Mereka hanya hadir ke premis terbabit untuk mengambil pesanan yang telah siap dibungkus bagi mengelak daripada dikesan orang. (Sinar Harian, 4 Februari 2007)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.