Halaman

Rabu, 23 Januari 2008

Warga emas saman Felcra RM5.8 juta.


KOTA BHARU – Seorang warga emas hari ini menyaman Felcra Berhad bagi menuntut ganti rugi sebanyak RM5.8 juta kerana mendakwa agensi berkenaan telah menceroboh tanah miliknya secara haram selama 29 tahun.

Kalthum Mat Amin, 61, yang bertindak sebagai plaintif memfailkan writ saman itu melalui peguamnya, Nik Mohd. Anuar Badiruddeen di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini dengan menamakan Felcra Berhad sebagai defendan.

Plaintif di dalam samannya menuntut ganti rugi am daripada defendan terhadap pencerobohan itu sebanyak RM2.8 juta dan ganti rugi teladan sebanyak RM3 juta.

Menurut pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa defendan pada atau lebih kurang tahun 1979 menerusi projek Rancangan Kemajuan Tanah Teratak Batu, Telipot Pasir Puteh telah secara salah menceroboh dua keping tanah miliknya seluas 0.726 hektar di Lot 2338 dan Lot 2339 yang terletak di Mukim Telipot, Kampung Baring, Pasir Puteh.

Plaintif mendakwa defendan tanpa kebenarannya sebagai pemilik sah tanah itu telah membina pejabat-pejabat cawangan Felcra, rumah kediaman pegawai dan sebahagiannya ditanam dengan kebun bagi tujuan keuntungan komersial.

Dakwa plaintif, sejak awal tahun 1980 beliau telah berkali-kali menemui pegawai defendan sama ada di pejabat cawangan di Teratak Batu dan di Kota Bharu untuk menuntut ganti rugi dan pampasan tetapi tidak pernah mendapat layanan yang sewajarnya.

“Saya pada 7 September tahun lalu melalui Peguam Cara Tetuan Zamri Anuar & Norsiah telah menulis surat kepada defendan meminta penjelasan mengenai pencerobohan itu, tetapi sehingga kini masih tidak mendapat jawapan daripada defendan,” dakwa plaintif.

Plaintif mendakwa lagi akibat pencerobohan itu telah menyebabkannya terhalang daripada menikmati sebarang hasil daripada penggunaan tanah berkenaan.

Plaintif di dalam tuntutannya juga menuntut perintah injunksi mandatori supaya defendan atau pekerja dan wakilnya mengosongkan keseluruhan tanah berkenaan dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh tuntutan ini.

Selain itu, plaintif juga menuntut injunksi supaya defendan merobohkan keseluruhan binaan kekal dan membersihkannya dengan kosnya ditanggung sendiri oleh defendan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.