HALAMAN SANTAI

Rabu, 13 Februari 2008

Bakal pesara polis akan ditawarkan untuk terus berkhidmat




PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pegawai dan anggota polis yang akan bersara dalam tempoh tiga tahun akan datang mulai tahun ini akan ditawarkan untuk terus berkhidmat sebagai langkah untuk memperkasakan keupayaan pasukan polis dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Perdana Menteri berkata pengambilan semula anggota polis yang telah bersara dalam tempoh tiga tahun lalu yang dibuat sebelum ini juga merupakan langkah bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia mendapat anggota secepat mungkin.

Walaupun PDRM diberi kelulusan untuk mengambil 60,000 anggota baru, jumlah itu amat besar dan jika proses pengambilan dibuat seperti biasa, ia akan mengambil masa sehingga tujuh tahun, katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri di sini hari ini.

"Tentu sekali amat sukar untuk menunggu sehingga tujuh tahun sebelum polis mendapat kekuatan sepenuhnya.

"Dengan adanya pengambilan yang kita ambil daripada yang telah bersara dengan menawarkan untuk terus bekerja bagi mereka yang akan bersara, maka ini akan menjadi satu pendekatan untuk menambahkan anggota polis yang diperlukan, walaupun tidak sepenuhnya," kata Abdullah, yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Abdullah berkata keputusankeputusan lain yang dibuat sebelum ini dalam usaha meningkatkan keupayaan pasukan polis bagi menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam menjaga keamananan dan keselamatan negara perlu dipercepatkan.

Katanya ini termasuk cadangan untuk membina dua buah pusat latihan polis, masing-masing di Kedah dan Pahang, dan keputusan membolehkan polis mendapat premis yang boleh dijadikan balai kerana untuk membina balai akan mengambil masa.

"Jika sekiranya balaibalai polis boleh diwujudkan dengan menyewa kedaikedai di kawasan yang diperlukan atau rumah-rumah yang boleh disewa, maka ia perlu dilaksanakan secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata bahagian yang bertanggungjawab memberi kelulusan berkaitan peralatan yang diperlukan oleh pasukan polis seperti kereta dan motosikal serta alat persenjataan perlu memberi kelulusan secepat mungkin.

"Ini adalah keputusan yang bukan baru dibuat dalam tempoh dua tiga hari ini tetapi telah dibuat sudah lebih sebulan, maka dengan itu, saya harap apa jua kerja yang berkaitan dengan perkara ini akan dipercepatkan," katanya.

Abdullah berkata dengan mempercepatkan usaha meningkatkan keupayaan dan kemampuan pasukan polis, agensi penguatkuasa tersebut akan dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan lagi dalam memberi khidmat kepada rakyat untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara selain membanteras jenayah.

Beliau menggesa semua pihak agar turut membantu polis membanteras jenayah dengan lebih bertanggungjawab, termasuk ibu bapa perlu mengawal anak-anak masing-masing dengan sebaik mungkin berikutan beberapa kejadian menculik kanak-kanak sebelum ini.

"Ini adalah tugas kita, jika kita pandai menjaga diri dan anak-anak di rumah sudah tentu mereka tidak terdedah kepada apa jua bentuk bahaya yang datang. Anak-anak perlu dikawal dan dijaga sebaik-baiknya agar tidak terlepas daripada pandangan kita walaupun mereka dijaga oleh orang gaji dan pengasuh," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: