Halaman

Rabu, 13 Februari 2008

Bekas setiausaha sahkan percutian ke New Zealand dirancang



KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha Datuk V.K. Lingam berkata peguam itu merancang lebih awal percutiannya ke New Zealand bersama bekas Ketua Hakim Negara Tun Eusoff Chin dan keluarganya pada 1994.

Ketika memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja hari ini, L.G.Jayanthi, 45, berkata beliau diarahkan oleh bekas majikannya itu pada Disember 1994 supaya menguruskan percutian bagi beliau dan keluarganya bersekali dengan Eusoff serta keluarganya ke New Zealand.

Keterangannya itu bercanggah dengan keterangan Lingam dan Eusoff yang masingmasing menafikan ia dirancang lebih awal, sebaliknya memberitahu siasatan itu bahawa percutian mereka ke New Zealand adalah secara kebetulan.

Jayanthi, saksi ke-19, berkata beliau diarahkan menghubungi Holiday Tours & Travel Sdn Bhd di Jalan Sultan Ismail untuk menguruskan tiket bagi percutian itu memandangkan Lingam terlebih dahulu melakukan urusan am dengan syarikat berkenaan.

Beliau berkata Lingam mengarahkannya supaya membuat susulan bagi mendapatkan aturcara lawatan yang perlu dan tiket penerbangan disahkan serta dikeluarkan.

Katanya, beliau berhubung dengan seorang wanita dari syarikat berkenaan untuk urusan itu.

Keterangan beliau mengenai percutian itu dikemukakan kepada siasatan berkenaan menerusi satu akuan berkanun. Disoal oleh pegawai pengendali siasatan Datuk Nordin Hasan, Jayanthi bersetuju bahawa beliau membuat kenyataan itu dalam satu akuan berkanun dan mengesahkan kandungannya adalah benar.

Jayanthi berkata pada 14 Dis 1994, beliau menerima dua muka surat aturcara lawatan yang ditulis tangan daripada agensi pelancongan itu untuk Eusoff dan keluarganya di samping bekas majikan serta keluarganya.

"Aturcara lawatan itu dihantar kepada saya menerusi faks pada 14 Dis 1994 di pejabat V.K.Lingam and Co. Saya sendiri yang menerima dua dokumen aturcara ini," katanya.

"Berikutan itu, pada atau lebih kurang 20 Dis 1994, saya menerima kesemua tiket untuk Eusoff, Puan Sri Rosaini Mustaffa, Zubaidah Mohd Eusoff dan Johan Mohd Eusoff serta Lingam, K.Suppiah Gnanajothy, Sivashahkti dan Sivajothi selain Tan Chong Paw (pengawal peribadi ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun) untuk penerbangan KL-Singapura, Singapura-Auckland, AucklandChristchurch, Christchurch-Auckland dan Auckland Singapura," katanya.

Jayanthi berkata semua penerbangan itu bermula pada 22 Dis 1994 dan berakhir pada 30 Dis 1994 tatapi penerbangan Eusoff bagi KL-Singapura pada 22 Dis berbeza setengah jam daripada Lingam seperti yang diminta oleh Lingam.

Beliau berkata baki penerbangan itu termasuk semua penerbangan dalam negara New Zealand adalah sama untuk Eusoff dan Lingam serta keluarga mereka.

Salinan asal 36 gambar dan negatif filem percutian itu, 18 keratan tiket percutian dan dua aturcara lawatan satu ditulis tangan dan satu lagi ditaip dikemukakan kepada siasatan itu oleh peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili beliau.

Jayanthi berkata sekembalinya Lingam dari New Zealand, beliau diarahkan oleh majikannya itu supaya menyediakan satu lagi aturcara lawatan bagi penerbangan dalam negara yang dibeli berasingan di New Zealand oleh Lingam bagi kedua-dua keluarga itu untuk tujuan rekod, berkemungkinan untuk perakaunan.

Katanya beliau menyediakan aturcara itu dalam sehelai kertas, sambil menambah pada pengetahuannya, kesemua tiket itu dibeli dan dibayar oleh Lingam tetapi beliau tidak ingat kaedah pembayaran tiket berkenaan.

Jayanthi berkata sekembalinya daripada bercuti, Lingam turut menyerahkan kepadanya tiga gulung filem untuk dicuci.

"Saya mencuci kesemua tiga gulung. Bagaimanapun, satu daripada gulungan filem itu yang mengandungi 37 shot masih ada pada saya sepadan dengan gambar yang tidak diambil oleh Lingam. Beliau mengambil dua gulung negatif lagi dan gambarnya. Semua tiga gulung filem itu mengenai percutian keduadua keluarga berkenaan di New Zealand," katanya.

Jayanthi berkata Lingam turut menyerahkan kepadanya beberapa keratan tiket percutian kedua-dua keluarga itu dan Tan untuk disimpan.

Ketika ditanya oleh Shafee, Jayanthi berkata aturcara ketiga adalah aturcara bagi Lingam dan keluarganya yang disediakan oleh agensi pelancongan yang tidak dikembalikan kepada beliau oleh Badan Pencegah Rasuah selepas mereka menamatkan siasatan berhubung dakwaan amalan rasuah oleh hakim. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.