BPR dan polis jangan jadi jentera olah najis
Abdul Halim Mohd Rashid
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar mengingatkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis supaya menghentikan tindakan kotor dan keji menjadi tukang cuci calon-calon Umno dan Barisan Nasional yang hendak beretanding dalam pilihan raya akan datang.
"Propaganda murahan kononnya hanya calon-calon Umno dan Barisan Nasional yang lulus tapisan BPR dan polis sahaja yang akan bertanding adalah antara pembohongan paling keji menjelang pilihan raya ini," kata beliau.
BPR dan polis, katanya, hendaklah menghentikan dengan serta merta tindakan memberikan pengesahan yang kotor dan jijik kononnya calon-calon berkenaan telah lulus tapisan mereka.
"Kalau benar BPR dan polis melakukan tapisan itu demi kepentingan rakyat dan bukan menjadi pelakon wayang Umno dan Barisan Nasional, panggil Perdana Menteri dahulu kerana beliaulah orang pertama yang mesti menjalani tapisan keselamatan.
"Kalau benar BPR dan polis jujur untuk melakukan tapisan keselamatan, sila siasat penglibatan Perdana Menteri dalam skandal mensabotaj bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pemilihan perwakilan Umno Kubang Pasu, skandal pengeksportan komponen nuklear ke Libya oleh Scomi dan skandal Oil-for-Food," katanya.
Mahfuz yakin, jika BPR dan polis benar-benar jujur berkerja untuk kepentingan negara dan rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mungkin tidak lulus tapisan keselamatan.
Ketua Penerangan PAS itu juga menuntut BPR dan polis menyiasat mengapa Perdana Menteri mengambil tindakan melindungi anak-anak dan menantunya apabila bertegas menyatakan anak-anak dan menantunya tidak perlu mengambil tindakan mengisytiharkan harta mereka sedangkan beliau juga yang mengarahkan semua wakil rakyat Barisan Nasional dan ahli keluarga mereka membuat pengisytiharan harta.
Lebih dari itu, Mahfuz mempersoalkan, jika Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah BPR dan Peguam Negara dituduh melakukan konspirasi untuk membebaskan orang yang dikenali sebagai penjenayah seperti Goh Cheng Poh atau Tengku Goh dari Perintah Sekatan, tidak ada jaminan polis dan BPR tidak boleh melepaskan mana-mana calon Umno dan Barisan Nasional yang masih dikehendaki kepimpinan parti tersebut dalam tapisan mereka.
"Adalah amat malang BPR dan polis yang dibiayai dengan wang rakyat terus dilihat menjadi alat perkakas dalam sandiwara jijik Umno dan Barisan Nasional kononnya calon-calon mereka sudah lulus tapisan.
"Adakah sudah terjunam maruah BPR dan polis ke tahap yang begitu jijik dan hina dan menjadi tukang cuci kepada Umno dan Barisan Nasional? Kalau benar, apa bezanya BPR dan polis dengan jentera pengolah najis Indah Water?" soal beliau.
Mahfuz menyeru mana-mana bakal calon Umno dan Barisan Nasional yang tidak lulus tapisan BPR dan polis supaya memulihkan sedikit nama mereka dan bangkit beramai-ramai mempersoalkan mengapa Perdana Menteri dan calon-calon lain yang tidak kelihatan bersih berjaya mendapat kelulusan tapisan BPR dan polis itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.