'Ninja' curi buah kelapa sawit
Oleh NORAINI A. GHANI
KUALA TERENGGANU - Gara-gara takut untuk menegur, empat lelaki menutup muka dengan kain ala-ala ninja, berjaya melarikan 20 tandan buah kelapa sawit di Felda Bukit Bading, Ajil pada Sabtu lalu.
Lima orang pekerja di ladang itu hanya mampu melihat gelagat empat 'ninja' itu memunggah buah kelapa sawit yang baru dipetik ke dalam kenderaan jenis Toyota Hilux.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Hazam Abdul Halim, kenderaan berkenaan dilihat mula masuk ke ladang tersebut kira-kira pukul 11 pagi.
Katanya, semasa itu pula, sebahagian buah kelapa sawit berkenaan telah dilonggok oleh pekerja ladang itu di tepi jalan sebelum menunggu lori datang memungahnya.
"Peneroka Felda tersebut pula tiada di ladang dan hanya datang semula ke situ pukul 1.30 petang untuk menghantar makanan kepada pekerjanya.
"Sebaik dimaklumkan oleh pekerjanya, peneroka Felda itu terus membuat laporan polis," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.
Menurut beliau, jumlah kerugian dialami peneroka Felda berkenaan sebanyak RM400 dan mangsa percaya ia dilakukan oleh penduduk Felda di situ memandangkan sekarang harga buah kelapa sawit tinggi.
Tambahnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana curi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.