Halaman

Rabu, 6 Februari 2008

Desakan hidup, tidak takut diculik


KUALA LUMPUR - "Kami terpaksa tebalkan muka untuk cari duit."

Demikian penjelasan ringkas seorang pengemis kanak-kanak apabila ditanya mengenai kegiatannya walaupun terdorong kepada bahaya seperti diculik.

Dia yang cuma dikenali sebagai Jamilah, 13, memberitahu telah melakukan kegiatan tersebut bersama adik serta lima rakannya yang lain.

"Saya ada dengar berita budak kena culik dan kena bunuh, tetapi perasaan takut itu kami pendamkan sahaja.

"Setiap kali mengemis, saya hanya mampu berdoa agar kejadian culik tidak terjadi kepada saya dan adik-adik saya yang lain," katanya ketika di temui di pekarangan Masjid Negara baru-baru ini.

Jamilah yang petah bercakap menjelaskan, apa yang dilakukan adalah kerana desakan hidup.

Tambahnya, sebelum ini dia agak malu untuk meminta sedekah dan pernah dimarahi oleh orang ramai yang rimas dengan kehadiran mereka di situ.

Sementara itu, seorang lagi rakannya yang dikenali sebagai Rogayah, 11, berkata, bapanya kini terlantar sakit di rumah kerana mengalami penyakit hati dan ditimpa kemalangan sejak dua tahun yang lalu menyebabkan mereka terpaksa berbuat demikian.

"Saya cuma nak bagi keluarga saya makan dan untuk beli ubat sahaja, ayah sakit dan saya terpaksa mengemis untuk cari duit untuk kami sekeluarga.

"Semasa ayah sihat dan bekerja sebagai pekerja kontrak binaan dulu kami tidak mengemis, namun sekarang kami hanya mengharapkan belas ihsan orang ramai," jelasnya.

Bercakap tentang kejadian culik, gadis sunti ini berkata, hatinya memang tidak pernah lepas daripada perasaan bimbang.

"Memang takut mendengar berita kanak-kanak diculik, tetapi saya berserah kepada takdir.

"Mudah-mudahan kejadian tersebut tidak berlaku kepada kami yang terpaksa keluar bersendirian," katanya.

Ditanya sama ada mereka dipaksa oleh sindiket tertentu, Rogayah menafikannya dan menjelaskan, kegiatan tersebut di atas kerelaan sendiri.

Sementara itu, seorang lagi pengemis kanak-kanak yang dikenali sebagai Khatijah, 10, berkata, dia bersama abang dan ibunya mengemis di sekitar kawasan masjid di ibu kota sejak setahun lalu.

"Sebelum ada berita kanak-kanak diculik, kami langsung tidak fikir apa-apa sebab sudah lama bergerak sendirian begini.

"Ada juga seorang dua yang menawarkan kami untuk jadi anak angkat dan tinggal bersama mereka, tetapi kami terus beredar tanpa jawapan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.