Penasihat DAP saman SPR
Oleh Webmaster
Kuala Lumpur: Penasihat DAP, Lim Kit Siang memfailkan saman pemula terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan Malaysia bagi menuntut perisytiharan agar kerajaan sementara (caretaker government) mengambilalih kerajaan dalam tempoh antara tarikh pembubaran Parlimen sehingga penubuhan Kabinet baru selepas pilihan raya.
Kit Siang turut menuntut perisytiharan bahawa dalam tempoh tersebut, kerajaan sementara itu hanya melaksanakan pentadbiran harian kerajaan tanpa apa-apa kuasa berhubung dasar kebangsaan, peruntukan kewangan awam atau penggunaan kemudahan-kemudahan awam semasa kempen pilihan raya umum yang akan datang.
Saman pemula tersebut difailkan oleh Ketua Pembangkang itu melalui firma guaman, Tetuan Karpal Singh & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Beliau selaku plaintif menamakan SPR defendan pertama dan kerajaan Malaysia defendan kedua.
Menurut peguam Karpal Singh, beliau juga memfailkan surat perakuan segera agar kes itu dapat didengar oleh Mahkamah Tinggi di sini secepat mungkin.
Kit Siang turut hadir bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Mengikut afidavit yang difailkan bagi menyokong saman pemula itu, Kit Siang menyatakan, surat balasan Setiausaha SPR kepadanya pada 17 Januari lalu menyatakan bahawa kerangka undang-undang pilihan raya termasuk Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan penubuhan kerajaan sementara ini.
Berikutan itu, menurut setiausaha SPR apabila pembubaran Parlimen berlaku, maka kerajaan yang memerintah sebelum pembubaran itu akan terus menerajui sehingga sebuah kerajaan baru ditubuhkan.
Kit Siang sebaliknya menyatakan bahawa selepas Parlimen dibubarkan, mengikut skim dan semangat Artikel-Artikel 40(1), 43(3) dan 55(3) Perlembagaan Persekutuan memerlukan satu kerajaan sementara mengambilalih kerajaan dalam tempoh pembubaran tersebut.
Katanya, kerajaan sementara yang hanya berfungsi dalam skop pentadbiran harian bertujuan memastikan tiada apa-apa penyalahgunaan kuasa atau wang dan kemudahan-kemudahan oleh Kabinet bagi kepentingan Barisan Nasional semasa kempen menjelang pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu, Kit Siang menggesa supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak bertindak membubarkan Parlimen dan sekali gus mengumumkan kempen pilihan raya ke-12 pada musim perayaan Tahun Baru Cina.
Kit Siang dalam kenyataan akhbar yang diedarkan kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, mengharapkan agar Perdana Menteri menghormati sambutan perayaan itu yang bermula pada Khamis ini.
''Ini kerana pelbagai tarikh telah disebarkan mengenai pembubaran Parlimen iaitu dari hari ketujuh sambutan Tahun Baru Cina hinggalah kepada hari Chap Goh Mei,'' katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.