Halaman

Rabu, 6 Februari 2008

Dua murid nyaris diculik
Oleh NORAINI A. GHANI



KUALA TERENGGANU - Sebuah sekolah rendah di sini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga ekoran kejadian cubaan culik dua muridnya oleh dua wanita di luar pintu pagar depan sekolah tersebut 27 Januari lalu.

Bagaimanapun dalam kejadian pukul 7 pagi itu, penculik dikatakan tidak sempat melarikan murid lelaki dan perempuan berkenaan selepas menyedari kehadiran seorang lelaki yang menghantar anaknya ke sekolah.

Jurucakap sekolah itu memberitahu KOSMO!, pihaknya amat terkejut dengan kejadian yang kali pertama membabitkan murid sekolah tersebut.

Menurutnya, ketika kejadian, seorang lelaki yang menghantar anaknya ternampak seorang wanita keluar dari kereta dan cuba menerpa ke arah dua murid yang sedang berjalan menuju ke dalam kawasan sekolah.

"Bagaimanapun apabila menyedari kehadiran lelaki itu, wanita tersebut tergesa-gesa masuk semula ke dalam kereta Proton Wira yang dipandu seorang lagi wanita dan terus beredar," katanya ketika dihubungi KOSMO! semalam.

Ujarnya, lelaki itu kemudiannya melaporkan perkara tersebut kepada pihak sekolah dua jam kemudian dan pihak sekolah memaklumkannya kepada polis.

Katanya, kedua-dua murid tersebut dipercayai tidak sedar mereka sedang diperhatikan.
Ekoran kejadian itu, pihak sekolah mengeluarkan surat peringatan kepada semua ibu bapa mengenai kejadian tersebut.

Sementara itu, tinjauan KOSMO! ke sekolah berkenaan semalam mendapati semua penjaga dan ibu bapa datang menjemput anak-anak mereka di dalam kawasan sekolah.

Langkah itu diambil pihak sekolah bagi mengelak kejadian tidak diingini menimpa murid-muridnya.

Pada masa sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Hazam Abdul Halim ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian berkenaan tetapi polis akan memantau perkara tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.