Halaman

Sabtu, 2 Februari 2008

Formula atasi banjir secara muktamad
Oleh: AU YEONG HOW.


KUALA LUMPUR - Sebanyak RM30 bilion diperlukan bagi mengatasi masalah banjir di seluruh negara bagi melaksanakan Pelan Induk Tebatan Banjir (PITB) secara menyeluruh dan holistik.

Melalui pelaksanaan PITB, banjir yang menjadi igauan rakyat negara ini setiap tahun akan dapat diatasi sepenuhnya untuk tempoh 100 tahun akan datang.

Pengarah Tebatan Banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir. Abd. Rahim Kaparawi berkata, pelan itu merangkumi kerja-kerja melebar dan mendalamkan sungai, pembinaan empangan, kolam takungan air, lencongan sungai serta pembinaan pam air.

Bagaimanapun, katanya pada masa ini PITB tidak mampu dilaksanakan secara serentak dan menyeluruh kerana peruntukan yang tidak mencukupi.

Ketika ini katanya JPS hanya menerima RM4 bilion yang hanya mencukupi untuk membiayai projek-projek terpilih.

“Sekarang ini terdapat 189 lembangan sungai di seluruh negara dan JPS pula hanya boleh memfokus kepada lembangan sungai yang berhadapan dengan situasi banjir kritikal,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

Masalah banjir di negara ini semakin serius apabila setiap tahun negara mengalami kerugian lebih RM1 bilion akibat kemusnahan harta benda dan hasil pertanian ekoran bencana alam itu.

Oleh itu, satu penyelesaian yang menyeluruh perlu dilaksanakan bagi memastikan masalah itu tidak terus berulang setiap tahun.

Antara negeri paling teruk dilanda banjir setiap tahun ialah Johor, Pahang, Kelantan dan Kedah.

Abd. Rahim berkata, PITB ialah satu pelan holistik bagi mengenal pasti dan mengatasi punca banjir di lembangan sungai.

Beliau berkata, PITB bukan pelan baru malah, projek perintisnya telah dilaksanakan sejak 1971 di Sungai Klang, selepas banjir besar melanda Kuala Lumpur.

Terbaru, ujarnya, projek PITB membabitkan pembinaan Laluan Pengurusan Air Banjir dan Terowong Jalan (SMART) sepanjang 9.7 kilometer bernilai RM1.9 bilion.

Selain itu, katanya, pembinaan kolam takungan air Batu dan Jinjang adalah sebahagian daripada Projek Tebatan Banjir di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, kata beliau, di projek tebatan banjir di Lembah Klang sendiri belum siap sepenuhnya termasuk keperluan membina kolam takungan air Pauh dan Benteng di Gombak dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) jika mendapat peruntukan.

Pada masa ini, katanya, antara projek intensif di bawah PITB ialah mengatasi banjir di Kedah dengan pembinaan dua saluran pintas atau lencongan dari Sungai Kedah terus ke Selat Melaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.