Halaman

Sabtu, 2 Februari 2008

Islam Hadhari sepatutnya utamakan kalendar Miladi
Muhammad Yusri Amin.


KOTA BHARU (Hrkh) – Biar pun Islam Hadhari dicipta Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah berusia lebih lima tahun, namun belum kelihatan tamadun Islam dipraktik dalam pentadbiran kerajaan.

Malah perkara paling mudah iaitu memberi keutamaan kepada kalendar Miladi tidak dilakukan seperti dilaksanakan di Kelantan sejak lebih 10 tahun lalu.

Bekas pensyarah Universiti Malaya, Dr Johari Mat berkata, penggunaan kalendar Masehi dalam pentadbiran kerajaan masih diberi keutamaan biar pun di bawah payung Islam Hadhari sekarang.

“Sedangkan kalendar itu merujuk kepada agama Kristian. Kalau kerajaan mengagung-agungkan Islam Hadhari sepatutnya kalendar Miladi yang merujuk kepada kelahiran Nabi Isa alaihissalam lebih diberi keutamaan.

“Nabi Isa adalah Nabi kita, sedangkan kalendar Masihi dicipta pendeta Kristian, Paulus,” katanya pada ceramah Hijratul Rasul 1429 Hijriah di Langgar, dekat sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra berkata, peristiwa hijrah Rasulullah saw tidak berlaku tanpa iman.

Namun sekarang katanya, hijrah iaitu perpindahan dari Mekah ke Madinah tidak lagi berlaku, sebaliknya hijrah dalam konteks sekarang menuntut meninggalkan apa yang dilarang Allah s.w.t.

“Manakala hijrah rohani tidak putus dan berterusan sepanjang masa. Manakala hijrah perbuatan pula meninggalkan semua adat dan budaya yang bertentangan dengan kehendak agama,” katanya.

Ketua Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Mohamad Mustapha mengajak umat Islam bersama keluarga melakukan hijrah daripada kebatilan kepada Islam secara mutlak.

Katanya juga agak menghairankan zaman sekarang apabila ramai umat Islam sesat dalam politik apabila cuba mengasingkan siasah dengan agama dalam kehidupan harian. - mj

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.