Halaman

Selasa, 12 Februari 2008

Kubu kuat Samy Vellu bakal tumbang dalam pilihan raya kelak
Ekmal Yusof


SUNGAI SIPUT (Hrkh) - Barisan Nasional (BN) Bahagian Sungai Siput di sini kini menghadapi dilema ketika berhadapan diambang pilihan raya umum ke-12 dan dijangkakan memberi laluan mudah untuk KeADILan yang bertanding di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kelak.

Diberitakan Ahli Parlimen setengah abadnya ketika ini, Dato' Seri S. Samy Vellu sekarang menghadapi krisis politik dalaman parti dengan terdapatnya pemimpin-pemimpin MIC di cawangan-cawangan yang tawar hati dan telah melompat masuk dan menyertai BA, Kelab Penyokong PAS dan KeADILan secara beramai-ramai terutama disebabkan isu kehidupan rakyat di negara ini pada masa kini yang serba-serbi dalam kekurangan.

Menurut maklumat dan sumber yang dipercayai, khasnya masyarakat kaum India di sini dikatakan menolak MIC kerana mereka telah sedar presidennya tidak berjuang untuk kepentingan rakyat tetapi hanya pentingkan diri sendiri apabila ramai yang tinggal dalam kemiskinan dan kehidupan sosial mereka tidak terbela seperti pekerjaan, pelajaran dan perumahan.

Manakala ADUN Lentang pula Ahmad Fakeh Adam yang telah menjawat hampir sepenggal itu kini dihantui dengan desas-desus bahawa kerusinya akan direbut kembali oleh keluarga bekas DUN sama Allahyarham Haji Fadzil Harun iaitu adiknya Zulkifli Harun seorang usahawan yang sedang membangunkan semula empayar keluarganya di sini.

Sementara itu, ADUN Jalong dekat sini yang kerusinya dipegang oleh parti Gerakan turut dilanda krisis dengan khabar angin yang bertiup kencang bahawa seorang veteran wanita Umno yang juga merupakan seorang usahawan kilang kicap, di Salak Baru dekat sini akan turut melobi untuk bertanding di kawasan berkenaan.

Dengan pelbagai krisis yang melanda di kawasan ini, para pemerhati politik meramalkan kubu kebal BN di kawasan Parlimen dan DUN Sungai Siput selama 50 tahun itu akan dengan mudahnya ditawan dan ditewaskan oleh calon-calon dari BA khususnya KeADILan kelak. - mks.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.