Mr Y, Pesuruhjaya Polis Sabah yang baru !
Oleh: ‘Deep Throat’ Sabah
Belumpun Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim menerima arahan pertukaran (posting), Pengarah Siasatan Jenayah Malaysia, Datuk Bakri Zinin telah ‘melantik’ Mr Y sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baru.
Menurut seorang ‘Deep Throat Kepayan’ (DTK), Mr Y bukanlah calang-calang orang kerana semua Pesuruhjaya Polis Sabah berada di dalam koceknya disebabkan beliau merupakan ‘ikon’ Mafia di Keningau sejak 20 tahun lalu.
"Gelanggang yang terletak di Kampung Sogon, Jalan Bariawa, Keningau merupakan satu-satunya ‘Gelanggang Judi Laga Ayam Berlesen Terbesar’ di Malaysia milik Mr Y yang lebih berkuasa daripada semua polis yang ada di Malaysia" ujar DTK yang jengkel dengan sikap bermuka-muka Bakri ketika beliau bertugas di Sabah dahulu.
Kata DTK lagi, Bakri yang pada zahirnya kelihatan baik dan dedikasi, namun ‘dipelihara’ rangkaian ramai Mafia di Sabah termasuk Mr Y dan akibat bantahan pemimpin politik Bakri ditukarkan ke Semenanjung.
"Memang dia layak jadi CP kalau tidak berkawan dengan Mafia," ujar DTK yang kini ditugaskan ke bahagian latihan kerana beliau mengetahui semua rahsia Bakri dan Ramli Yusuff di Sabah.
DTK mendedahkan bahawa pertaruhan terbesar baru-baru ini diadakan pada 7 Februari 2008 di ‘Gelanggang Mr Y’ sempena Gong Xi Fa Cai disertai lebih 1,300 orang peminat ayam sabung daripada Brunei, Sarawak dan seluruh Sabah.
Jumlah pertaruhan yang dikumpul pada hari itu, kata DTK melebihi RM450,000 berdasarkan ‘pungutan cukai’ RM90,000 atau 20 peratus yang diserahkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Keningau, ASP Bong Kuet Khiun untuk diageh-agehkan kepada kuncu-kuncu sebagai ‘angpau’ Tahun Baru Cina.
Tegas DTK lagi, memandangkan Malaysia Today telah menyiarkan kisah Bong dan Gelanggang Sabung di Kampung Sogon, maka Bong terpaksa menghantar Korporal Borhan yang bertugas di Unit Pentadbiran di Balai Polis Keningau untuk menjadi pengawal keselamatan dengan bantuan enam orang polis berpakaian preman daripada Kota Kinabalu.
"Sebanyak 157 perlawanan diadakan pada khamis tersebut dengan pertaruhan paling rendah RM3,000 dan paling tinggi RM20,000 bagi setiap pusingan," ujar DTK yang turut hadir kerana setelah melawat saudaranya di Keningau tetapi mengaku tidak berjudi.
Bagaimanapun kehadiran ramai ‘taiko’ dan ‘taukey’ Sabung Ayam membuatkan seorang Mantan Calon Bebas, Kapilin menghantar ‘Taukey Wahui’ terkenal di Keningau, Ah Chin berunding dengan Bong untuk mendapat restu untuk membuka gelanggang di Apin-Apin iaitu di tanah Kapilin.
"Bong tidak cakap ‘Ya’ atau ‘Tidak’ tapi dia kata "pandai-pandailah kamu (yang penting komisyen Bong tetap 20 %)," ujar ‘Deep Throat Keningau’ (DTU) yang mendengar percakapan Ah Chin dengan Bong.
Keesokan harinya, 8 Februari 2008, Mr Y terkejut kerana gelanggangnya kosong kerana semua bertumpu ke Gelanggang Baru di tanah Kapilin dan terus menelefon Mr Nick di D7 (Unit Kongsi Gelap, Maksiat dan Judi) di Kepayan agar menghantar orang menangkap penjudi yang bersabung ayam di Gelanggang Baru di Apin-Apin.
"Mr Nick yang bergegas ke Keningau bersama lima orang anggota menaiki Waja Hitam bernombor SAA4887L telah menyerbu Gelanggang Kapilin, tapi nasib acara sabung ayam belum bermula," ujar DTU yang hairan dengan kehadiran Mr Nick dengan kenderaan peribadi dan mengesyaki upahan Mr Y.
Kata DTU lagi, Kapilin, Ah Chin, Salimin (Pengerusi JKKK), Boyd dan dua lelaki tidak dikenali telah ditangkap kerana sedang bermain Ketam-Ketam ketika serbuan dan ditahan di lokap Balai Polis Keningau atas tuduhan berjudi di tempat awam.
"Semua yang ditangkap dibebaskan atas jaminan pengikut Kapilin, Cikgu Lukas, tapi Kapilin tidak mau keluar lokap," ujar DTU yang menyatakan Bong bingung dan bimbang jika perkara ini sampai ke pengetahuan Pesuruhjaya Polis Sabah.
Menurut DTU lagi, Kapilin telah mengarahkan orangnya agar membuka gelanggang baru di Sook sebagai menyahut seruan Mr Y setelah mendapat persetujuan Bong.
"Kalau polis atau orang Mr Y datang kamu sumpit," kedengaran orang Kapilin memberikan arahan kepada orang kanannya yang datang untuk menjaminnya setelah enggan dijamin Cikgu Lukas, seolah-olah membongkar kemarahannya kepada Mr Y.
Mr Y telah menempah bilik untuk Mr Nick di Hotel Juta, Keningau kerana pada sebelah petangnya Mr Y ke hotel berkenaan untuk membayar yuran perkhidmatan sejumlah RM30,000 kepada Mr Nick dan kuncu-kuncunya kerana berjaya memberi pengajaran kepada Kapilin dan pengikutnya.
Selain daripada Gelanggang Sabung Ayam, Mr Y juga terlibat dengan kegiatan pengedaran syabu dan sentiasa dikawal ketat tidak kurang 10 orang pengikutnya sehingga tidak ada polis Keningau berani menyentuhnya kerana semua polis berada di dalam senarai ‘payroll’nya.
Walaupun Bakri Zinin berpeluang menjadi Pengarah Siasatan Jenayah Malaysia, namun badi Bong dan bayangan Mr Y tidak dapat terlepas daripada imejnya kerana beliau kini menjadi target kedua selepas Ramli Yusuff yang kini sedang menjalani perbicaraan dan menunggu perbicaraan atas empat tuduhan rasuah dan salahguna kuasa setakat ini.
Semua polis di Keningau di bawah jajahan takluk Mr Y yang menjadi ‘Don’ dan digeruni kerana apa sahaja kesalahan daripada syabu sehinggalah kepada kes bunuh semuanya boleh ditutup dengan bantuan Mr Y kerana Bong dan Bakri berada di dalam genggamannya.
Ketika tinjauan pada 7 Februari, krew Malaysia Today telah menyaksikan tiga orang polis berpakaian preman turut bertaruh antara RM200 hingga RM1,500 dan berjoget di atas pentas apabila ayamnya menang dan merungut bila ayamnya kalah.
Suasana di Gelanggang Sabung turut membuatkan Cikgu Roshidi (SMK Teknik dan Cikgu Asri (SMK Apin-Apin) turut teruja dan bersabung ayam menghabiskan wang gaji dan tabungan kerana melihat rakannya menang.
Kehadiran polis telah membuatkan para penjudi ayam sabung tidak gentar dan sentiasa bertumpu ke gelanggang Mr Y sejak sepuluh tahun lalu sebelum kehadiran Kapilin yang membuka pertaruhan besar sehingga mencabar Mr Y.
Bong yang ditugaskan di Keningau sejak 1993 menjadi semakin kebal kerana menjadi ‘Kuda’ kepada Bakri Zinin dan menjadi ‘lombong emas’ kepada semua Pesuruhjaya Polis Sabah.
Masih ada lagikah undang-undang di Malaysia jika polis yang dipertanggung jawabkan menguatkuasa undang-undang dan menjaga keamanan bertindak melindungi dan bersubahat dengan penjenayah?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.