Taklimat SPR selesai, petanda PRU semakin hampir
JOHOR BAHARU: Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Isnin menamatkan siri taklimat dan latihan kepada pegawai dan penolong pegawai pengurus di seluruh negara.
Ini memberikan satu petanda pilihan raya semakin hampir.
Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata siri taklimat itu bermula November lepas.
"Bagi SPR kami sudah membuat persiapan mengikut program yang kami atur," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Taklimat Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya Umum Ke12 Negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.
Beliau berkata seramai 200,000 petugas SPR akan terlibat menguruskan pilihan raya umum ke-12 itu.
SPR juga telah mula menghantar barangan logistik pilihan raya seperti peti undi lutsinar dan dakwat penanda yang akan pertama kali diguna di dalam pilihan raya ke kawasan-kawasan pilihan raya di seluruh negara.
Menyentuh mengenai pengundi, Wan Ahmad memberi jaminan peraturan membenarkan pengiring (dimestikan pemilih berdaftar), kepada pengundi buta ataupun yang mengalami kecacatan penglihatan di tempat mengundi, kekal seperti yang termaktub dalam Peraturan Pilihan raya 1981.
"Sebenarnya kami memang konsisten dengan peraturan dulu. Dalam undang-undang jelas bahawa hanya saudara terdekat sahaja iaitu sama ada suami, isteri, ibu, bapa dan anak sahaja yang boleh dibenarkan mengiringi pengundi buta," katanya.
Wan Ahmad mengulas kenyataan Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia dalam sebuah akhbar hari ini yang menggesa SPR menetapkan peraturan konsisten terhadap golongan itu ketika membawa pengiring berikutan dakwaan terdapat beberapa kes melarang mereka menunaikan hak mereka.
Golongan buta akan dibantu oleh Ketua Tempat Mengundi bagi mengisi borang selain masalah lain yang dihadapi, katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.