Halaman

Ahad, 10 Februari 2008

Turki lulus usul benarkan wanita bertudung di universiti



ANKARA: Parlimen Turki Khamis meluluskan usul meminda perlembagaan negara itu bagi membenarkan wanita memakai skaf dan tudung di universiti, satu langkah yang menerima tentangan keras daripada puak berfahaman sekular di negara itu.

Timbalan Speaker Nevzat Pakdil mengumumkan bahawa dua undian secara rahsia diadakan dan kedua-duanya mendapat sokongan dua pertiga majoriti bagi membolehkan pindaan perlembagaan dilakukan, demikian lapor beberapa agensi berita angarabangsa.

Pengharaman pemakaian skaf dan tudung di universiti di negara yang umat Islamnya terdiri daripada lebih 90 peratus penduduk itu telah lama terpakai.

Ia menyebabkan ramai wanita negara itu yang enggan menanggalkan skaf dan tudung mengambil keputusan tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi sementara ramai juga yang bertindak memakai rambut palsu di atas tudung mereka ketika masuk ke kelas.

Pindaan yang dijangka dibuat itu menyebut "tidak sesiapa pun boleh dihalang daripada mendapatkan pendidikan tinggi", secara tidak jelas merujuk kepada pengharaman wanita bertudung daripada berbuat demikian ketika ini.

Langkah menghapuskan pengharaman pemakaian skaf dan tudung itu menimbulkan kemarahan pihak berpendirian sekular termasuk pihak tentera, kehakiman serta golongan akademik.

Golongan ini menganggap pemakaian kain tudung di universiti sebagai simbol yang berlawanan dengan konsep pemisahan antara agama dan kengeriaan yang merupakan prinsip utama penubuhan republik itu 84 tahun lalu.

Mereka berpendapat langkah menghapuskan pengharaman memakai tudung di universiti itu akan membuka ruang bagi golongan Islam Radikal lebih bertapak di negara yang megah dengan amalan sekularnya itu.

Sabtu lalu, lebih 125,000 orang mengadakan demonstrasi di hadapan makam pengasas Turki Moden, Mustafa Kemal Ataturk sebagai membantah cadangan meminda perlembagaan itu.

Ini diikuti oleh satu lagi demonstrasi di pintu masuk Bangunan Parlimen pada Rabu oleh badan-badan bukan kerajaan dan kesatuan sekerja menuntuk usul meminda perlembagaan itu ditarik balik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.