"Zakaria tidak pernah jadi ahli Pas" Mustafa
Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
Kuala Lumpur: Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali berkata, beliau mengharapkan mana-mana pihak yang mendekati abangnya, Zakaria Ali termasuk pemimpin Umno supaya menjaga abangnya itu dengan baik.
Dalam satu ulasannya hari ini Mustafa berkata, beliau mengesahkan Zakaria yang dikatakan menyertai Umno adalah abangnya.
Bagaimanapun Zakaria tidak pernah menyertai PAS dan Mustafa sendiri tidak pernah meminta Zakaria terlibat secara aktif di dalam PAS.
"Sepanjang karier politik saya, saya tidak pernah meminta dia (Zakaria) terlibat secara aktif dalam PAS kerana tidak mahu membebankan dia dengan isu-isu politik masyarakat dan negara berikutan dia sudah cukup terbeban dengan tanggungjawab terhadap kesihatannya," ujar Mustafa yang mengulas berita kemasukan abangnya ke dalam Umno.
Mustafa yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata, abangnya adalah seorang bekas guru yang bersara awal berikutan perakuan 'medical board' selepas mengalami kemalangan pada awal tahun 1960-an.
"Saya berharap bahawa sesiapa sahaja yang mendekati dan bersama beliau termasuk pemimpin Umno, supaya menjaga beliau dengan baik kerana beliau masih terus menerus di bawah pengawasan doktor akibat satu kemalangan jalan raya," ujarnya kepada Harakahdaily.
Beliau juga berharap agar semua pihak tidak sakiti abangnya itu dengan perkataan atau perbuatan yang boleh menjejaskan kesihatan Zakaria, ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan