BN perlu fikir isyarat yang diberi oleh rakyat: Keng Yaik
PUTRAJAYA: Penasihat Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik berkata parti itu mempunyai keyakinan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tetapi pengerusi Barisan Nasional (BN) itu perlu "berfikir secara lebih mendalam dan meluas" tentang isyarat yang diberi oleh rakyat melalui pilihan raya umum Sabtu lepas.
Katanya Gerakan komited terhadap BN dan tidak akan meninggalkan parti gabungan itu.
Beliau bagaimanapun berkata Perdana Menteri perlu mendapatkan nasihat yang betul berkaitan pentadbirannya.
"Barisan Nasional tidak akan mengalami keputusan pilihan raya seperti itu sekiranya Perdana Menteri telah mendapat nasihat yang betul," katanya kepada pemberita pada hari terakhir beliau memegang jawatan sebagai Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi di kementerian itu di sini, Isnin.
BN gagal mengekalkan majoriti dua pertiga dan kehilangan lima negeri iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor kepada pembangkang pada pilihan raya umum kali ini.
Parti itu hanya menguasai 140 daripada 222 kerusi Parlimen.
Keng Yaik menyifatkan tsunami politik nasional sebagai satu-satunya dan sebab utama kegagalan Gerakan mengekalkan penguasaannya di Pulau Pinang.
Parti itu hanya memenangi dua daripada 12 kerusi Parlimen dan empat daripada 31 kerusi Dewan Udnangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
"Kerajaan Persekutuan patut lihat perkara-perkara yang menimbulkan kemarahan rakyat itu dan jangan tunjuk apa-apa diskriminasi pada kaum-kaum termasuk kaum minoriti," katanya.
Beliau berkata sistem penyampaian awam perlu diperbaiki dan kerajaan mesti memberi perhatian seimbang terhadap dasar dan aspek pentadbiran.
"Melayu dan bukan Melayu sama-sama marah sebab anggap kerajaan tidak cukup telus dan bersih," katanya.
"Kita kena tunjuk, jangan cakap sahaja," katanya.
Dalam aspek memerangi rasuah, beliau berkata kerajaan perlu dilihat melaksanakan tugas itu secara aktif.
Katanya sebagai komponen parti gabungan yang mempunyai 14 anggota itu, Gerakan berpendapat BN tidak sepatutnya menyembunyikan sebarang perkara apabila berdepan dengan masalah.
"Setiap anggota komponen tidak sepatutnya takut antara satu sama lain. Malah, isu sensitif perlu dibincang secara tertutup," katanya.
Beliau berkata BN sepatutnya berasa bertuah kerana mereka tidak lenyap sepenuhnya pada pilihan raya umum ini selepas 50 tahun kewujudannya.
"Gerakan akan memainkan peranan lebih aktif untuk pastikan kerajaan meneliti tentang ketidak puasan hati rakyat yang mahu kerajaan lebih telus dan bersih dengan meningkatkan sistem penyampaian kerajaan," katanya.
Keng Yaik juga menegur sesetengah wakil rakyat BN yang angkuh dan melakukan perkara yang menyebabkan masyarakat tertentu berasa tidak senang hati.
"Kita tak perlukan koboi di sini... (kita) perlu disiplinkan mereka," kata Keng Yaik sambil menambah bahawa kelakuan angkuh yang beliau maksudkan dapat dilihat semasa mesyuarat tahunan sesetengah parti politik dan di Parlimen.
"Kita perlu banyak merenung diri. Kita perlu hapuskan politik wang. Parti komponen BN perlu bekerja untuk parti dan bukan memeras parti," katanya.
Beliau juga mengesyorkan kepada kerajaan supaya menimbang untuk memperkenalkan satu dasar baru ekonomi yang lebih baik bagi menggantikan Dasar Ekonomi Baru yang meliputi semua masyarakat berikutan kekalahan teruk BN pada pilihan raya umum baru-baru ini. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.