Halaman

Selasa, 11 Mac 2008

Sultan Selangor perkenan jumpa pemimpin KeADILan, PAS dan DAP secara berasingan
Intan Abdullah


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj akan memperkenankan perlantikan Menteri Besar Selangor baru selepas menemui semua pemimpin pembangkang yang berjaya membentuk kerajaan campuran.

Perkara tersebut dimaklumkan calon jawatan tersebut, Tan Sri Khalid Ibrahim yang telah dipilih hasil persetujuan pakatan tiga parti iaitu PAS, KeADILan serta DAP yang berjaya memenangi 36 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.

"Pihak tuanku yang dimaklumkan melalui setiausaha sulitnya, Dato' Lela Bakti meminta wakil parti PAS dan DAP agar datang menghadap secara berasingan," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas pertemuan bersama tuanku sultan di pintu masuk Istana Kayangan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pihak istana mahu bertemu wakil PAS pada jam 2.30 petang manakala wakil DAP satu jam berikutnya.

"Buat masa ini tiada perlantikan Menteri Besar akan dibuat, kecuali hanya selepas selesai pertemuan dengan wakil-wakil parti tersebut dengan sultan," kata Setiausaha Agung KeADILan itu.

Khalid tiba di perkarangan istana pada jam 5 petang, untuk bertemu Sultan yang berakhir pada 5.35 petang. Turut hadir bersama penyokong PAS dan KeADILan, Koordinator Suaram, Ronnie Liu bagi memberikan sokongan.

Ketika diminta mengulas mengenai maklumat staf Jabatan Kewangan Negeri Selangor yang bertindak mengoyakkan dokumen-dokumen 'tertentu', beliau tidak memberikan sebarang komen mengenainya.

"Saya tiada maklumat lanjut mengenainya, jadi saya tidak boleh memberikan sebarang komen,"

Berikutan pencapaian memberangsangkan KeADILan dengan 15 kerusi, DAP 13 kerusi dan PAS 8 kerusi, pakatan tersebut berjaya membentuk kerajaan baru setelah berjaya menumbangkan kerajaan Umno-BN pada pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lalu. - mr

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.