Dua pengundi meninggal dunia di pusat pengundian
KUALA LUMPUR: Dua orang meninggal dunia selepas rebah di pusat pengundian dalam dua kejadian berasingan di Alor Star dan Kepala Batas hari ini.
Dalam kejadian pertama, seorang petani rebah dan meninggal dunia dipercayai akibat sakit jantung sebaik selesai memasukkan kertas undinya ke dalam kotak undi di Sekolah Maktab Mahmud di Jalan Langgar di Alor Star manakala di Kepala Batas, hasrat seorang lelaki hendak mengundi tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia setelah rebah ketika berbaris menunggu giliran untuk mengundi.
Di ALOR STAR, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Kota Star DSP Fiesal Libertus Abdullah ketika dihubungi berkata Adzemi Ismail, 48, mati di dalam tempat mengundi dan polis menyifatkan kes itu sebagai kematian mengejut.
Kejadian pukul 8.20 pagi itu menggemparkan suasana apabila orang ramai yang sedang beratur menunggu giliran mengundi terkejut apabila terdengar bunyi kuat di bahagian pintu keluar bilik mengundi.
Seorang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya yang enggan dikenali berkata beliau bergegas keluar sebaik mendengar bunyi bising di belakang dinding pembahagi kelas sekolah itu.
"Saya dapati seorang lelaki rebah dan mendapati tidak ada denyutan nadi. Saya terus menghubungi doktor di klinik yang berhampiran", katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Sekolah itu merupakan pusat pembuangan undi untuk kerusi parlimen Pokok Sena yang menyaksikan pertembungan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Ibrahim dan calon PAS Mahfuz Omar, manakala bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Pinang melibatkan calon BN Che Omar Saad dan calon PAS Mohd Rohsidi Osman.
Abang ipar mangsa, Rosli Ismail, 48, berkata Adzemi, yang meninggalkan seorang isteri dan dua anak berusia 15 dan sembilan tahun, pernah menjalani pembedahan jantung 20 tahun lepas dan tidak pernah mengalami sebarang komplikasi sejak pembedahan itu.
"Tetapi beliau demam sejak beberapa hari lepas dan berjumpa doktor kerana risau dengan keadaan jantungnya tetapi doktor mengatakan jantungnya berada dalam keadaan baik," kata beliau.
Katanya beliau terkejut dengan kejadian itu kerana pagi tadi Adzemi kelihatan sihat semasa menunggang motosikal untuk keluar mengundi.
Dalam kejadian di KEPALA BATAS, Saidon Md Isa, 48, dari Permatang Rambai, Kepala Batas dilaporkan sedang beratur untuk menunggu giliran di saluran dua, di Sekolah Agama Rakyat Permatang Rambai apabila beliau tibatiba rebah kirakira pukul 10.40 pagi.
Menurut rakannya, Shukri Ramli, yang juga Ketua Umno Cawangan Permatang Kuang, Allahyarham, yang merupakan kakitangan Telekom Malaysia di Kepala Batas, datang ke pusat itu bersama beberapa orang rakan sekampungnya dan menyertai deretan orang ramai di pusat pengundian itu untuk mengundi.
Ketika dihubungi Bernama, Shukri berkata sewaktu kejadian beliau sedang bertugas di pondok panas kirakira 100 meter dari pusat pengundian itu dan dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh beberapa petugas di pusat itu.
Katanya beliau tidak pasti sama ada Allahyarham menghidapi sebarang penyakit kerana setahunya Saidon merupakan seorang yang cergas dan gemar bersukan.
Sementara itu, jurucakap hospital Kepala Batas ketika dihubungi berkata, sebuah ambulans dihantar ke pusat pengundian itu kirakira pukul 11 pagi ini dan Saidon diisytiharkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital itu.
Ketika ini, jenazah Allahyarham masih berada di bilik mayat dan sedang menunggu proses bedah siasat, katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.