Rusuhan di T'ganu: Anak presiden PAS antara 22 ditahan
KUALA LUMPUR: Anak kepada Presiden PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, 31, adalah antara 22 penyokong parti pembangkang itu yang ditahan polis kerana bertindak agresif dan menahan tiga buah bas serta menyerang kenderaan polis di Kampung Rusila, Marang di Terengganu pagi tadi.
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata dalam kejadian pukul 11 pagi itu, 200 hingga 300 penyokong PAS yang berkumpul di kawasan tersebut bertindak menahan dua buah bas dan beberapa kenderaan yang membawa pengundi dari luar daerah itu.
"Kumpulan itu turut merampas 76 keping kad pengenalan penumpangpenumpang bas itu tetapi polis telah memulangkan kembali kepada pemiliknya," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau berkata bagi meleraikan kekecohan polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata.
Berikutan itu, katanya kumpulan itu bertindak melontar batu dan kayu ke arah kenderaan polis dan menyebabkan tujuh buah kenderaan termasuk empat buah kereta, sebuah bas Unit Simpanan Persekutuan (FRU), sebuah jip dan sebuah van milik polis rosak.
"Cermin kenderaan polis tersebut dipecahkan, bagaimanapun tiada anggota polis tercedera," katanya.
Beliau berkata polis berjaya mengawal keadaan pada pukul 1 tengah hari.
"Keadaan pulih seperti sedia kala dan FRU juga masih memantau sekitar kawasan tersebut bagi menjamin keselamatan orang ramai keluar mengundi," katanya.
Musa berkata polis akan menyiasat kemungkinan wujud pembabitan pemimpin-pemimpin parti politik dalam kejadian itu.
Katanya kumpulan itu juga dipercayai terlibat dalam kes penahanan beberapa buah bas di Kuala Ibai, Terengganu pagi kelmarin.
Antara lain, katanya polis akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 143 dan 148 Kanun Keseksaan kerana berkumpul secara haram dan merusuh selain kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya 1954. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.