Maimun sudah serik bertanding
KUALA TERENGGANU - ``Saya sudah serik dan tidak mahu bertanding lagi,'' kata calon Bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Maimun Yusof, 89, yang hilang wang pertaruhan selepas hanya memperoleh 685 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 semalam.
Menurut warga emas itu, beliau tidak mahu lagi menyertai pilihan raya kerana sudah tidak berupaya lagi mengharungi kerja yang meletihkan itu termasuk berkempen.
Kecewa selepas hilang wang pertaruhan, nenek kepada tujuh cucu itu berkata, ia adalah pilihan raya pertama dan terakhir yang ditandinginya.
“Selepas ini Tok sudah tidak larat dah nak masuk bertanding dan ini mungkin kali terakhir Tok masuk.
“Mungkin dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, Tok sudah tak ada pun,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pusat pengiraan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik dekat sini, malam tadi.
Maimun yang mempunyai 19 cicit mencatatkan rekod sebagai calon Bebas tertua selepas tiga percubaannya bertanding di Parlimen berkenaan sebelum ini gagal.
Pada pilihan raya kali ini, Maimun tewas ditangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Razali Ismail yang memperoleh 32,562 undi sekali gus turut menewaskan Mohamad Sabu (Pas) yang memperoleh 31,934 undi.
Maimun yang tiba seawal jam 8 malam di pusat pengiraan undi itu berkata, beliau akan kembali dengan kehidupannya yang biasa sebagai penjual kain.
Katanya, beliau tidak kisah apa yang diperkatakan masyarakat mengenai dirinya dan menjadikan penyertaannya dalam pilihan raya kali ini sebagai kenangan yang sangat bermakna bagi dirinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.