MCA hanya menang 15 daripada 40 kerusi yang ditandingi
KUALA LUMPUR – MCA, parti komponen kedua terbesar BN, mengalami kekalahan besar di kebanyakan kerusi Parlimen dan negeri yang ditandinginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.
Ini merupakan kekalahan terbesar MCA sejak pilihan raya umum 1969.
Pada pilihan raya umum kali ini, MCA bertanding di 40 kerusi Parlimen dan 90 kerusi negeri, tetapi keputusan tidak rasmi menunjukkan parti itu hanya menang kira-kira 15 kerusi Parlimen dan kehilangan banyak kerusi negeri.
Pada pilihan raya umum lepas, jumlah kerusi Parlimen yang ditandingi MCA dan negeri adalah sama dengan tahun ini, dan parti itu menang 31 kerusi Parlimen dan 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
MCA kalah di semua kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang manakala hanya menang satu kerusi masing-masing di Kedah, Selangor dan Melaka, dua di Pahang, tiga di Perak dan enam di Johor.
Antara mereka menang ialah presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting (Kulai), naib presiden Datuk Ong Tee Keat (Pandan), naib presiden Datuk Seri Fong Chan Onn (Alor Gajah), setiausaha agung Datuk Ong Ka Chuan (Tanjung Malim), Ketua Pemuda Datuk Liow Tiong Lai (Bentong), Ketua Wanita Datuk Dr Ng Yen Yen (Raub), Datuk Chor Chee Heung (Alor Setar), Datuk Lee Chee Leong (Kampar), Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam), Wee Jeck Seng (Tanjung Piai), Teng Boon Soon (Tebrau) dan Chua Tee Yong (Labis).
“Ini adalah pencapaian pilihan raya paling buruk sejak 1969. Pada tahun itu kami hanya menang 13 kerusi Parlimen. Kali ini, kami hanya menang lebih sikit daripada jumlah itu,” kata anggota jawatankuasa pusat paling kanan MCA Datuk Wong Mook Leong. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.