Pandangan Mufti mengenai Jom Heboh perlu diberi perhatian
KANGAR: Pandangan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai program Jom Heboh perlu dilihat secara positif, kata Menteri Besar Perlis Datuk Dr Md Isa Sabu.
Beliau berkata mufti berkenaan telah bertemu beliau semalam untuk memberi pandangannya mengenai program tersebut yang diwarwar akan diadakan di Perlis selama dua hari pada hujung minggu ini di Stadium Utama.
"Pandangan mufti akan dibangkitkan pada mesyuarat bersama TV3 selaku penganjur program itu di sini esok," katanya.
Antara pandangan Dr Mohd Asri ialah program itu perlu dihentikan seketika ketika masuk waktu untuk bersembahyang serta tidak menampilkan artis yang tidak boleh menjadi contoh kepada orang ramai.
Semalam mufti tersebut turut memberi contoh nama penyanyi yang disifatkan sebagai tidak berdisiplin dan tidak patut mengambil bahagian dalam program hiburan berkenaan.
Dr Md Isa berkata pandangan Mufti Perlis itu akan menjadi garis panduan kepada program hiburan yang bakal diadakan di Perlis di masa depan.
"Pandangan mufti perlu diambil kira kerana program Jom Heboh itu juga terletak tidak jauh dari Masjid Putra dan Masjid Behor Empiang," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.