Halaman

Jumaat, 2 Mei 2008

Shabeery Cheek menteri wayang pacak
Oleh Mohd Sayuti Omar


SAYA setuju sangat dengan pandangan sdr Roslan SMS yang mengatakan Menteri Penerangan yang baru Ahmad Shabeery Cheek berfikiran singkat dan cetek.

Tentu Roslan merujuk untuk berpandangan demikian ekoran kenyataan atau ulasan Shabeery Cheek mengenai siaran langsung selama 30 minit semasa soal jawab sidang Dewan yang mula disiarkan oleh RTM hari ini.

Khabarnya Shabeery sedih dan kesal apa yang berlaku dengan siaran langsung berkenaan. Apa yang beliau sedih kerana pembangkang telah mengambil kesempatan dengan siaran langsung berkenaan untuk political mealage. Memanglah perkara itu tidak dapat dielakkan. Orang politik akan berpolitik di mana saja tidak kira di dalam tempayan atau pun dalam kandang kambing.

Tidak salah! Tok Guru sendiri mengatakan masjid adalah tempat paling sesuai untuk berpolitik, berdakwah dan menyebarkan risalah Islam. Cuma Khir Toyo saja tutup dan kunci masjid dan surau daripada digunakan untuk berpolitik.

Apabila Shabeery telah membuka RTM untuk orang politik (Ahli Parlimen) maka bodohlah mereka kalau tidak menangguk di air keruh, eksploitasikan siaran langsung berkenaan untuk faedah mereka kerana ianya diikuti oleh jutaan penonton. Khabarnya setakat Shabeery jadi menteri pentonton RTM berlipat ganda hampir menewaskan pentonton TV3?

Seperti kata Roslan, apakah Shabeery tidak terfikir sebelum memutuskan untuk membuka siaran langsung itu. Dengan komposisi pembangkang sebanyak 82 orang dan wakil Kerajaan 72 (tidak masuk menteri dan timbalan menteri), pasti ia hangat dan hebat.
Kalau mereka bertumbuk pun tentu wakil kerajaan akan kalah.

Lain kali kalau nak buat sesuatu fikirlah banyak dan acap kali sikit. Jangan setelah buat baru tahu salah dan silap. Dalam hal ini saya sendiri nampak Shabeery seperti mudah hilang arah. Tengok isu mengenai penarikan keluar Radio Selangor FM. Baru Khalid Ibrahim acah dia sudah mengelabah dan emosi lantas arah Radio FM Selangor keluar dari bangunan Sultan Sallehuddin Abdul Aziz (SSAA) di Shah Alam.

Mana profesionalisme Shabeery? Sebelum ini orang fikir Shabeery berbeza dengan Zainudin Madini yang pongah, keras kepala dan emosi. Orang ingat Shabeery tidaklah sesempit Zainuddin berfikir kerana beliau dilihat seorang yang cerdik dan berfiikir menggunakan kedua belah otaknya tidak seperti Zainuddin yang menggunakan separuh otak saja. Rupa-rupa mereka tidak jauh berbeza, dua kali lima sahaja.

Kalau beliau benar-benar nak reform RTM bukalah siaran langsung berkenaan seluas-luasnya. Biarkan samada ia hendak dieksploitasikan oleh pembangkang atau tidak. Kenapa perlu takut? Kalau pihak kerajaan merasa benar, kenapa perlu takut lawan dengan berhujah dan berfakta. Parti politik dalam sebuah negara demokrasi yang masak dan matang bersedia menerima pandangan dan kritikan pihak lawan.

Bagaimana nak reform RTM kalau pemikiran singkat dan cetek? Baru langkah gelanggang sudah hendak tarik diri! Nampaknya pi mai pi mai RTM tetap macam dulu juga. Tidak berubah dan tidak beralih. Kepada sdr Roslan sebenarnya jangan rasa pelik dan anih dengan ahli Parlimen Kemaman ini. Orang sudah melewati sempadan dan tengelam dalam mega maya IT beliau masih lagi terkenangkan nostalgia lama untuk menghidupkan wayang pacak.

Jelas pemikiran Shabeery masih di era merdeka. Era budak-budak kampung yang masih lagi diserang cacacing, perut buncit dan tidur malam tungging punggung. Jadi wawasan dan idea Menteri Penerangan Malaysia ini sama saja tarafnya dengan wayang pacak saja.
Sekali lagi tidak pelik kerana Shabeery adalah anggota Kabinet Abdullah Badawi bukannya Dr Mahathir Mohammad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.