Halaman

Sabtu, 3 Mei 2008

Shabery dakwa ahli Parlimen pembangkang kelas ketiga?
Saidah Hairan


Pembangkang telah menyalahgunakan parlimen dan siaran langsung hanya untuk menarik perhatian orang ramai tentang mereka, luah Menteri Penerangan, Dato' Shabery Chik.

Beliau yang ditemui wartawan kesal kerana ungkapan Parlimen kelas Pertama itu tidak dihayati dan ternyata ramai ahli Parlimen pembangkang masih berfikiran ahli parlimen kelas ketiga.

Dakwaan itu diluahkan ekoran kekecewaan Shabery terhadap wakil rakyat Pakatan Rakyat yang berani mempersoalkan peraturan mesyuarat di hari pertama sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat.

wajah baru

Sidang Dewan Rakyat yang menampilkan ramai wajah baru sama ada di barisan BN mahupun Pakatan Rakyat telah menjadi `panas' di hari pertama persidangan.

Sesi soal jawab yang diperuntukkan selama satu jam setengah itu hanya mampu dijawab tiga soalan saja melalui Perdana Menteri dan Senator, Tan Sri Muhamad Muhamad Taib.

Kelewatan dan pembaziran waktu itu tidak akan berlaku jika Yang Dipertua, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menjalankan tugas atau tanggungjawab dengan penuh ketelusan dan kejujuran tanpa berpihak pada mana-mana parti politik.

Ini kerana perkara yang dibangkitkan oleh wakil rakyat PAS, KeADILan dan DAP merupakan peraturan-peraturan tetap dan ia sangat penting dalam menentukan kesempurnaan perjalanan persidangan.

Wajar atau tidak dakwaan Shabery?

Ekoran kegawatan tersebut, di lobi Parlimen Shabery melemparkan dakwaan bahawa wakil rakyat Pakatan Rakyat berfikiran kelas ketiga dan hanya mahu mengambil peluang disebabkan adanya siaran langsung.

Dimanakah kewajaran beliau melemparkan tuduhan begitu sedangkan wakil rakyat Pakatan Rakyat mempersoalkan peraturan mesyuarat?

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar menegaskan tidak sepatutnya Yang Dipertua memberikan alasan kerana masa telah habis dengan kekecohan sebelum itu (saya tidak anggap ini kekecohan tapi satu perkara yang diizinkan oleh peraturan mesyuarat).

Beliau berkata, Speaker tetapi tidak boleh menggunakan alasan kerana masalah yang berlaku.

Mahfuz yang kembali semula beraksi di Parlimen selepas kekalahan beliau pada tahun 2004 kesal kerana Speaker tidak memberi ruang dan peluang untuk beliau mengemukakan soalan tambahan.

"Bukan saya yang terlibat dalam kekalutan sebelum itu dan tidak boleh menghalang saya atau wakil rakyat yang tidak terlibat dengan mempersoalkan peraturan dewan," katanya.

Ketika Perdana Menteri menjawab soalan berhubung masalah krisis makanan Speaker telah memutuskan tidak akan membenarkan soalan tambahan diajukan.

Persoal peraturan

Ketegasan Speaker itu telah menyebabkan ramai ahli Parlimen bangun serentak dan mempersoalkan peraturan tersebut.

Menurut Mahfuz, isu yang dijawab oleh PM itu sangat serius kerana ia berkait dengan masalah krisis pemakanan.

Katanya, walaupun peruntukkan RM4 bilion dicadangkan oleh kerajaan tetapi ia belum tentu dapat menyelesaikan masalah tersebut.

"Saya ada perkara yang sangat penting untuk dapatkan penjelasan daripada kerajaan," tegasnya.

Beliau turut tidak berpuashati dengan tindakan Speaker yang tidak membenarkan usul yang dibawa oleh Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) tidak segera dibahaskan.

Katanya, tidak ada makna merujuk peruntukkan tersebut dan peruntukkan itu tidak ada ketika sesi sidang Dewan Rakyat tahun 1999.

Katanya, peruntukkan itu telah dimasukkan pada tahun 2004 dan dipinda kononnya sebagai reformasi untuk memberikan hak dan ruang kepada ahli Dewan untuk memastikan mengemukakan usul.

Beliau berkata, mungkin pada waktu itu mereka tidak berasa akan kehilangan kerusi yang begitu banyak seolah-oleh pembangkang tidak akan mempunyai lebih 15 kerusi lalu mereka letakkan peruntukkan tersebut.

Tambah beliau, walaupun Speaker mengatakan haknya untuk membuat keputusan tetapi Speaker hanya seorang yang berkata tetapi pihak pembangkang lebih 15 orang dan ia perlu diizinkan untuk dibahaskan.

Tidak panas jika beri laluan kepada Pakatan Rakyat

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmood berkata, sekiranya Yang Dipertua memberi laluan kepada wakil rakyat Pakatan Rakyat mempersoalkan tentang peraturan mesyuarat persidangan tidak menjadi panas.

Beliau merupakan ahli Parlimen baru dan berasa terkejut kerana di hari pertama persidangan suasana menjadi gawat.

Katanya, gawat disebabkan masalah teknikal tetapi jika perkara itu telah dibetulkan daripada awal ia tidak menimbulkan masalah.

"Apabila kita menjadi organisasi ada peraturan dan semua orang mengikut peraturan sudah tentu tidak akan menimbulkan masalah," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, tengahari tadi.

Selar Shabery

Beliau puashati jika semua wakil rakyat Umno-BN dapat mencontohi ahli Parlimen Kulai -MCA yang membenarkan wakil rakyat DAP, PAS dan KeADILan mengajukan soalan dalam perbahasan beliau.

"Saya rasa Insy-Allah persidangan akan berlaku dengan lebih bertamadun," tegasnya.
Beliau menyelar sikap Menteri Penerangan yang akan menghentikan siaran langsung dan biarlah rakyat yang membuat penilaian./wann.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.