Sultan Azlan mahu arahan pertukaran Pengarah JAIP ditarik balik
IPOH: Sultan Perak Sultan Azlan Shah menitahkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya menarik balik serta merta arahan pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) Datuk Jamry Sury yang dibuat Selasa lepas.
Arahan supaya menarik balik arahan pertukaran itu terkandung dalam kenyataan akhbar tiga muka surat yang dikeluarkan atas titah Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah selepas Mohammad Nizar dititah untuk menghadap baginda di Istana Raja Muda Perak pada pukul 11 pagi ini untuk menyembah maklum kepada baginda berhubung arahan pertukaran Jamry.
Kenyataan akhbar yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit kepada Sultan Perak, Kol Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor, menjelaskan bahawa titah Raja Nazrin adalah atas nama baginda selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP).
Kerajaan negeri Perak diminta mempersembahkan secara rasmi kepada Sultan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan dan kesalahan oleh Jamry terhadap pentadbiran kerajaan negeri untuk Baginda menitahkan proses undang-undang selanjutnya.
Menurut kenyataan itu, Muhammad Nizar dimaklumkan bahawa hubungan kerja yang menghormati Sultan merupakan konvensyen dan budaya kerja yang sentiasa diamalkan dan dihormati oleh setiap Menteri Besar dengan pihak Istana selama ini.
"Baginda Raja Muda memperingatkan bahawa hubungan yang dapat menjalinkan persefahaman ini wajiblah dihormati pada setiap masa.
"Sebarang perbuatan dan tindakan yang dilakukan tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Baginda Sultan dan Baginda Raja Muda adalah dianggap telah membelakangkan kedudukan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan sebagai Ketua Agama Islam dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak."
Mohammad Nizar juga dimaklumkan bahawa Jamry, selaku Pengarah JAIP juga berperanan sebagai Setiausaha MAIAMP, dan lantikan Jamry dilakukan selepas mendapat perkenan Sultan Perak kerana urusan agama Islam serta badan dan agensi berkaitannya adalah di bawah kuasa Sultan.
Oleh itu, menurut kenyataan itu, pada tafsiran Sultan, Menteri Besar mempunyai tanggungjawab untuk menghadap dan berdatang sembah bagi memaklumkan kepada baginda dan juga Raja Muda bagi mendapat perkenan sebelum mengambil sebarang tindakan berhubung apaapa urusan berkaitan agama Islam.
Menurut kenyataan itu, Raja Muda Perak juga menyampaikan nasihat dan pandangan Sultan Perak bahawa seseorang ketua kerajaan hendaklah berlaku adil dan mematuhi prosesur dan tata cara pentadbiran.
Ini kerana baginda berpendirian bahawa kestabilan sesuatu pentadbiran dan kerajaan adalah berlandaskan kepada prinsip yang berpegang kepada peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan.
Baginda Sultan amat mementingkan hubungan kerja harmoni dan baik dalam kalangan pentadbir dengan pemimpin politik di Perak demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Menurut kenyataan itu, adalah menjadi pegangan Sultan supaya kerajaan mengamalkan dan memperlihatkan amalan yang adil supaya tidak ada di kalangan rakyat yang merasakan diri menjadi mangsa kepada mana-mana perbuatan fitnah atau penindasan mana-mana pihak yang lebih berkuasa.
"Sebelum sesuatu keputusan atau hukuman dijatuhkan, proses dan prosedur yang memperlihatkan berlakunya keadilan hendaklah dipatuhi sepenuhnya terlebih dahulu.
"Prinsip keadilan sejagat perlu dihormati. Oleh itu mana-mana pihak yang dikenakan sebarang tuduhan hendaklah diberikan hak untuk membela diri dan memberi penerangan supaya satu pertimbangan yang saksama lagi adil dapat dilakukan."
"Dalam semangat yang demikian, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak telah menyampaikan pandangan dan pendirian Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak supaya arahan pertukaran serta merta yang dikenakan kepada Datuk Jamry ditarik balik."
Pada 29 April lepas, Jamry telah diarah bertukar dalam tempoh 24 jam oleh kerajaan campuran negeri Perak kerana didakwa tidak boleh memberi kerjasama.
Beliau dipercayai tidak diberi peluang untuk memberi penjelasan bagi membela diri.
Jamry telah memegang jawatan itu selama tiga tahun sejak 2004.
Sebelum ini Mohammad Nizar menjelaskan bahawa tindakan menukar serta merta Jamry itu adalah satu proses perpindahan biasa bagi kakitangan kerajaan negeri. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.